KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- McDonald’s Malaysia merancang untuk melabur RM1 bilion bagi membuka 100 restoran baharu, memodenkan cawangan sedia ada dan memperkukuh keupayaan digital dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi tempatannya Datuk Azmir Jaafar berkata pelaburan itu mencerminkan visi jangka panjang syarikat untuk membina tenaga kerja Malaysia yang bersedia untuk masa hadapan dan terus mengembangkan rangkaian restorannya di seluruh negara.
“Daripada RM1 bilion itu, RM600 juta akan diperuntukkan untuk pembukaan restoran baharu, RM200 juta bagi pengubahsuaian dan pemodenan lebih 150 restoran McDonald’s Malaysia sedia ada dan RM200 juta lagi untuk inisiatif teknologi dan pendigitalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media susulan pembukaan semula Drive-Thru (Pandu Lalu) Titiwangsa McDonald’s di Jalan Pahang di sini, restoran pandu lalu McDonald’s pertama di Malaysia.
Cawangan itu telah dibuka semula dengan identiti baharu sebagai restoran konsep Luna pertama di negara ini dan yang kedua di Asia.
Azmir berkata McDonald's Malaysia akan terus mengukuhkan kehadirannya di Sabah dan Sarawak serta di seluruh Semenanjung Malaysia terutamanya di kawasan permintaan tinggi serta didorong oleh pelancongan.
“Kami melihat potensi pertumbuhan yang ketara di Sabah dan Sarawak, memandangkan masih banyak bandar tidak mempunyai restoran McDonald's. Pada masa sama, kami akan terus berkembang di Lembah Klang dan lokasi pertumbuhan tinggi lain di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Selain itu, syarikat itu merancang untuk mengembangkan rangkaian francaisnya daripada 25 cawangan semasa, dikendalikan oleh 11 pemegang francais di seluruh negara dengan menyasarkan untuk mewujudkan antara 70 dan 100 restoran dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Francais memerlukan pelaburan besar, kira-kira RM5 juta hingga RM7 juta setiap restoran dengan tempoh pembayaran balik biasanya antara tiga hingga lima tahun, menunjukkan pulangan yang agak sihat,” katanya.
Pengembangan ini dijangka mewujudkan lebih daripada 10,000 pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia, seiring dengan dasar pengambilan pekerja tempatan 100 peratus oleh syarikat itu.
“Setiap restoran yang kami buka merangsang aktiviti ekonomi tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan, bukan sahaja di restoran kami tetapi juga merentasi sektor sokongan seperti logistik, pengubahsuaian, bekalan peralatan, pembersihan dan perkhidmatan keselamatan,” katanya.
Pengusaha restoran khidmat segera kini mengendalikan lebih 370 restoran di seluruh negara dan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 26 peratus pada tahun 2025 walaupun beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.
Selain pengembangan, Azmir berkata pembangunan tenaga kerja kekal sebagai tonggak utama strategi pelaburan syarikat melalui Akademi Vokasional McDonald's, ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia di bawah Sistem Latihan Dual Nasional.
“Sejak 2018, akademi ini telah melatih lebih 5,000 belia, termasuk peserta daripada komuniti B40, kawasan luar bandar, orang kurang upaya dan kumpulan Orang Asli. Kira-kira 80 peratus daripada mereka telah memilih untuk meneruskan kerjaya mereka dengan kami,” katanya.
Beliau berkata akademi itu berperanan sebagai saluran bakat bukan sahaja untuk McDonald's tetapi juga untuk ekosistem makanan dan minuman serta hospitaliti Malaysia yang lebih luas.
Azmir berkata pada 2023, McDonald’s Malaysia juga telah menubuhkan salah satu daripada sembilan pusat latihan Hamburger University global di Kuala Lumpur, mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan kepimpinan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Pelaburan berkenaan dijangka akan menyokong perusahaan kecil dan sederhana Malaysia dengan kira-kira 75 peratus makanan dan pembungkusan McDonald’s Malaysia diperoleh daripada sumber tempatan.
“Malaysia merupakan salah satu pengeksport produk makanan halal terbesar dalam rantaian bekalan global McDonald’s yang membantu mengukuhkan rantaian bekalan domestik dan menyokong pembekal dan petani tempatan,” katanya.
Azmir berkata kecekapan operasi kekal menjadi keutamaan, membolehkan syarikat mengekalkan harga menu kompetitif.
“Pada 2025, kenaikan harga menu kami adalah kira-kira separuh daripada kadar inflasi Malaysia, disokong oleh penambahbaikan berterusan dalam kecekapan rantaian bekalan dan operasi restoran,” katanya.
Beliau memberitahu selepas 43 tahun beroperasi di Malaysia, McDonald’s Malaysia kekal komited untuk menyumbang kepada pembinaan negara melalui penciptaan pekerjaan, pembangunan kemahiran, sokongan pembekal tempatan dan libat urus komuniti.
-- BERNAMA
