ALOR SETAR, 7 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan memastikan pelaksanaan semua projek pembangunan di Kedah terutamanya projek sambungan berjalan tanpa sebarang masalah.
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya bersama Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah akan mengenal pasti segala masalah yang timbul dalam sesuatu projek dan akan menyelesaikannya.
“Peruntukan Persekutuan di Kedah disalurkan dalam pelbagai kategori, ada projek baharu, ada projek sambungan, ada projek fizikal dan ada projek bukan fizikal. Hasil perbincangan dengan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, bagi projek sambungan, pelaksanaannya tidak boleh bermasalah.
“Kadangkala ada masalah berlaku dari segi proses kawal selia, kelulusan, aspek utiliti, tapak, modal atau sumber manusia,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Pusat Kemudahan Perniagaan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di sini hari ini.
Ditanya sama ada terdapat banyak projek sakit di negeri ini, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ada beberapa projek berada di bawah kategori itu termasuk projek loji rawatan air yang akan dilawatinya dalam masa terdekat.
Beliau berkata bagi projek besar lain seperti pembinaan dan naik taraf sistem pengairan di negeri ini yang menelan belanja antara RM4 bilion hingga RM5 bilion, ia berada secara langsung di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Terdahulu, Saifuddin Nasution turut menghadiri majlis penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di daerah Pokok Sena, bertempat di Dewan Hajjah Aishah, Pokok Sena.
Pada majlis itu, sebanyak 338 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara akibat banjir Oktober lepas menerima BWI sebanyak RM1,000 yang keseluruhannya melibatkan peruntukan sebanyak RM338,000.
-- BERNAMA
