KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Polis menahan Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) Zamri Vinoth dan beberapa individu lain berhubung perhimpunan yang dirancang di depan sebuah kompleks beli-belah di sini malam ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun hanya akan memberi perincian mengenai penahanan mereka esok.
“Butiran lanjut akan didedahkan esok menerusi sidang media,” katanya.
Tinjauan Bernama di lokasi mendapati polis melakukan kawalan sebelum perhimpunan yang dirancang pada 9 malam tidak diteruskan.
Terdahulu, media melaporkan polis tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan itu setelah menjalankan risikan keselamatan dan mendapatkan maklum balas pihak terlibat termasuk pemilik premis di sekitar lokasi berkenaan.
-- BERNAMA
