KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari menjadi wakil tunggal Malaysia yang masih bertahan dalam kejohanan Terbuka Windy City 2026, yang berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat (AS), pada Sabtu.
Sivasangari menewaskan pemain Mesir, Kenzy Ayman, 11-5, 11-4, 10-12, 11-6 pada pusingan 16 terbaik.
Pilihan keenam itu mengambil masa 36 minit untuk menewaskan Ayman, dan akan berdepan seorang lagi pemain Mesir yang juga pilihan ketiga Nour Elsherbini pada suku akhir yang dijadualkan berlangsung hari ini (waktu AS).
Sementara itu, Ng Eain Yow dan Aira Azman tersingkir selepas tewas di tangan lawan masing-masing.
Eain Yow tewas kepada pemain pilihan kedua Paul Coll dari New Zealand 8-11, 4-11, 7-11 dalam aksi perseorangan lelaki yang berlangsung 49 minit.
Aira pula tersingkir daripada acara wanita selepas kalah straight set kepada pemain pilihan keempat Olivia Weaver dari AS, 3-11, 8-11, 8-11 dalam perlawanan selama 24 minit.
-- BERNAMA
