AM

ANWAR RAI MODI DALAM JAMUAN TENGAH HARI 

08/02/2026 01:58 PM

PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Juadah pembuka selera yang melambangkan kekukuhan hubungan dua hala menjadi hidangan istimewa pada jamuan tengah hari yang dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi, di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Menu jamuan itu menampilkan hidangan tradisional Gujarat seperti dhokla dan khandvi bersama-sama  juadah pembuka selera Malaysia, iaitu rojak pasembur dan tauhu sumbat.

Modi yang dilahirkan di Vadnagar, Gujarat, dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Gujarat dari 2001 hingga 2014 sebelum menjadi Perdana Menteri India pada 2014 itu, tiba di Malaysia pada semalam untuk mengadakan lawatan rasmi dua hari.

Perdana Menteri India itu diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra pagi tadi, sebelum ke Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri untuk mengadakan sesi perbincangan dua hala dengan Anwar.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai usaha membanteras dan mencegah rasuah, piawaian latihan, pensijilan dan pengawasan bagi pelaut, serta pengurusan bencana.

Turut mengiringi Modi pada lawatan itu ialah Menteri Hal Ehwal Luar India Dr S. Jaishankar serta pegawai kanan kerajaan.

Hadir sama pada jamuan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

India dan Malaysia berkongsi hubungan sejarah, tamadun dan budaya, serta disokong oleh kira-kira 2.9 juta komuniti diaspora India di Malaysia, yang ketiga terbesar di dunia.

Hubungan ekonomi Malaysia-India terus menunjukkan momentum kukuh, yang menyaksikan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM79.49 bilion (USD18.59 bilion) pada 2025.

Eksport Malaysia pula berjumlah RM52.3 bilion (USD12.24 bilion) dan import sebanyak RM27.19 bilion (USD6.35 bilion).

Barangan eksport utama terdiri daripada minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, serta produk elektrik dan elektronik, manakala import terutamanya terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan