KUALA TERENGGANU, 8 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan buku berjudul Ijtihad Demi Rakyat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini malam ini.
Buku itu merupakan kompilasi petikan ucapan dan pencapaian utama Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Turut hadir pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Buku Ijtihad Demi Rakyat itu ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta barisan pengurusan tertinggi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
KKDW dalam kenyataan memaklumkan buku itu turut menghimpunkan petikan ucapan dan kerangka pemikiran serta pencapaian kementerian yang menterjemahkan mandat kepimpinan kepada tindakan tersusun, dengan mengambil bait ayat “Dari Langit Turunnya Mandat, kepada Desa Bakti Dipahat” yang dizahirkan melalui penulisan buku berkenaan.
Menurut KKDW, hasil nukilan Ijtihad Demi Rakyat itu mencerminkan perjalanan transformasi KKDW daripada perancangan kepada pelaksanaan, serta komitmen berterusan kementerian sebagai sebuah institusi yang berfungsi secara bersepadu.
“Ia merangkumi kepimpinan, bahagian dan agensi pelaksana bagi memastikan dasar bukan sahaja dirangka dengan baik, tetapi dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan masyarakat,” menurut KKDW.
-- BERNAMA
