AM

SARA: SURI RUMAH BORONG 40 KG BERAS UNTUK TAHUN BAHARU CINA

09/02/2026 06:23 PM

PENAMPANG, 9 Feb (Bernama) -- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua yang disalurkan kepada rakyat Malaysia mulai hari ini, memberikan kelegaan kepada sebuah keluarga di sini apabila memanfaatkan bantuan itu untuk memborong empat kampit beras seberat 40 kilogram serta barangan keperluan lain bagi persiapan menyambut Tahun Baharu Cina.

Suri rumah Angele Atik, 26, dari Penampang berkata dia memborong beras dalam kuantiti besar dan beberapa barang makanan dan minuman lain seperti kopi, kicap dan pelbagai jenis sos bagi memudahkan persiapan perayaan lebih awal.

Katanya, bantuan SARA secara sekali beri yang diterimanya dan suami dapat menampung sebahagian daripada keseluruhan perbelanjaan sambutan Tahun Baharu Cina mereka yang lazimnya mencecah hingga RM500.

“Saya dapat tahu ada SARA secara sekali beri untuk semua rakyat pada awal Februari. Jadi, saya buat perancangan belanjawan bagi memastikan bantuan ini dapat digunakan sebaik-baiknya untuk persiapan Tahun Baharu Cina kerana saya dan suami masing-masing menerima RM100.

“Oleh itu, RM200 daripada SARA ini, kami gunakan untuk membeli barang keperluan sebagai persiapan. Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan untuk menyambut perayaan kali ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Seorang pelajar Clarissa Diane Matin, 23, dari Penampang menyifatkan bantuan SARA diterimanya buat kali kedua sebagai inisiatif yang turut meringankan beban golongan mahasiswa dalam mendepani peningkatan harga barang.

Pelajar Universiti Malaysia Sarawak itu berkata inisiatif RM100 membolehkan dirinya menggunakan bantuan berkenaan untuk membeli barangan makanan di kolej seperti makanan dalam tin dan pek minuman, sekali gus membolehkan kos makanan tersebut dialihkan kepada perbelanjaan lain.

“Saya berharap inisiatif seperti ini diteruskan pada masa hadapan bagi membantu para pelajar mendepani kos sara hidup yang semakin mencabar ketika ini,” katanya.

Harapan sama turut disuarakan oleh seorang pesara swasta Somuil Longis, 63, dari Inanam yang mahu usaha itu diteruskan bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati manfaatnya.

“Bantuan SARA untuk Semua ini satu berita gembira. Jika suami dan isteri boleh dapat RM200, sedikit sebanyak membantu kami membeli barang dapur seperti beras dan minyak masak,” katanya.

Penyaluran bantuan SARA itu juga, katanya, tepat pada waktunya memandangkan rata-rata pasar raya membuat promosi potongan harga, sekali gus membolehkan lebih banyak barang keperluan dibeli untuk keluarga.

SARA untuk Semua mula disalurkan hari ini kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang boleh digunakan di kedai berdaftar untuk membeli barangan keperluan asas terpilih hingga 31 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan