SUBANG JAYA, 10 Feb (Bernama) -- Resorts World Genting (RWG) menggabungkan konsep pemasaran yang dihasilkan oleh pelajar ke dalam jenama Flavours of Genting menerusi kerjasama dengan Taylor’s University, sekali gus menonjolkan kolaborasi industri-akademia dalam penjenamaan pelancongan dan pembangunan bakat.
Kerjasama dengan Sekolah Media dan Komunikasi universiti terbabit menyaksikan karya kreatif pelajar daripada projek akademik diterapkan secara langsung di resort bertaraf dunia itu.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG Spencer Lee berkata inisiatif berkenaan mencerminkan perubahan dalam cara universiti menilai bakat muda.
Beliau berkata menerusi inisiatif itu, RWG menyalurkan hasil kerja pelajar secara langsung ke pasaran.
“Sambutan memberangsangkan daripada orang ramai membuktikan bakat yang ada ini sudah bersedia menyertai industri,” katanya berucap pada majlis pelancaran yang berlangsung di sini hari ini.
Inisiatif berkenaan melibatkan pelajar tahun akhir dengan menyaksikan penciptaan maskot "Cloudy Companions" iaitu Flavo dan Flava serta pembungkusan edisi terhad untuk tart nanas dan biskut durian terkenal resort terbabit.
Rekaan berkenaan dihasilkan oleh beberapa pelajar iaitu Saffiya Sheriza, Adeline Yeo Wei Xuan, Ahmad Iliya Ahmad Zaharul Annuar, Jin Kehui, Yin Yuen serta Zoey Yap Cyn Chi.
Kerjasama berkenaan merangkumi sesi bimbingan dua minggu sekali dan lawatan pengenalan di lokasi, sekali gus membolehkan pelajar menyesuaikan strategi kreatif mereka dengan ekosistem operasi resort.
Bagi menghargai sumbangan pelajar terbabit, cek cura turut disampaikan kepada mereka.
Majlis turut dihadiri Dekan Eksekutif Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi Prof Dr Neethiahnanthan Ari Ragavan dan wakil daripada Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA) Prof Dr Adrian Lee.
-- BERNAMA
