JENAYAH & MAHKAMAH

PEMANDU TERBABIT KEMALANGAN TIGA KERETA, TIGA MOTOSIKAL DIREMAN EMPAT HARI

11/02/2026 11:49 AM

MELAKA, 11 Feb (Bernama) -- Pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu di sini semalam, direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, seorang penunggang motosikal, Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, maut manakala empat lagi cedera apabila pemandu sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Bandar Melaka menuju ke Bukit Beruang dipercayai terlelap sebelum kenderaannya memasuki laluan bertentangan dan merempuh beberapa kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata Mohd Shahrol Anuar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, muka, badan dan tangan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan