KUALA TERENGGANU, 11 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pungutan khairat atau derma tanpa kebenaran bagi mencegah penyalahgunaan dana awam.
Yang Dipertua MAIDAM Datuk Zulkifli Ali berkata mana-mana individu, kumpulan atau pertubuhan yang dikesan melakukan kesalahan tersebut akan diambil tindakan dan didakwa di Mahkamah Syariah di bawah subseksyen 90(4) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu).
Beliau berkata pada tahun lepas sebanyak 23 kes pungutan khairat tanpa kebenaran yang melibatkan orang tempatan telah diambil tindakan.
"MAIDAM memandang serius isu pungutan khairat tanpa kebenaran yang terjadi di seluruh negara dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini di negeri Terenggganu.
"Mana-mana orang yang berhasrat untuk menjalankan pungutan khairat hendaklah mendapatkan kebenaran daripada MAIDAM bagi mengelakkan tindakan diambil," katanya pada sidang media pengumuman Zakat Fitrah 2026.
Zulkifli berkata pihak yang mendapat kebenaran oleh MAIDAM akan diberi sistem imbas kod respons pantas (QR) untuk kegunaan kutipan khairat.
"Di situ orang ramai boleh dapatkan semua maklumat termasuk mana-mana madrasah, pertubuhan dan sebagainya.
“Perkara ini kita dah mula sejak 2024, jadi orang ramai yang ingin membuat derma boleh meminta kod QR terlebih dahulu untuk pengesahan," katanya menambah sempena Ramadan, MAIDAM akan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan termasuk di bazar yang menjadi tumpuan ramai.
-- BERNAMA
