MELAKA, 11 Feb (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras, mercun dan bunga api keseluruhan bernilai RM1.64 juta termasuk cukai, disyaki untuk dipasarkan sempena Tahun Baharu Cina.
Pengarahnya Roslan Yusoff berkata rampasan melibatkan nilai cukai sebanyak RM1.35 juta itu dilaksanakan dalam tiga serbuan berasingan pada bulan lepas di luar Melaka berdasarkan maklumat awam dan risikan JKDM Melaka.
Beliau berkata kes terbaharu melibatkan rampasan mercun dan bunga api seberat 4,742 kilogram di gudang milik sebuah syarikat yang mempunyai lesen atau permit mengimport, menyimpan dan menjual bahan letupan di bawah Akta Bahan Letupan 1957, dalam serbuan di Nilai, Negeri Sembilan kira-kira 1 petang pada 19 Jan lepas.
"Dalam serbuan itu, sepasukan anggota kastam yang menjalankan pemeriksaan di gudang berkenaan menemukan mercun dan bunga api tidak mengikut spesifikasi diluluskan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Mercun dan bunga api yang tidak mendapat kelulusan KDN itu disimpan di bahagian dalam gudang dan ditindih dengan bahan letupan lain yang diluluskan KDN, dengan tujuan mengaburi penguat kuasa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata mercun dan bunga api yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM156,486 termasuk cukai dan kesemua bahan berkenaan disita untuk disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957.
Roslan berlata seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang merupakan pengurus di gudang itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam serbuan berasingan, beliau berkata pelbagai jenama minum keras dianggarkan bernilai RM882,369 termasuk cukai dirampas di sebuah gudang di Puchong, Selangor pada 16 Jan lepas.
Beliau berkata dalam serbuan pada 12 tengah hari itu, minuman keras yang mempunyai cetakkan 'MDNP' (Malaysia Duty Not Paid) ditemukan dalam sebuah lori bonded dan tiga kontena dalam gudang tersebut.
"Minuman keras yang dikeluarkan pengilang tempatan dan mempunyai cetakkan 'MDNP’ hanya sah untuk pasaran dalam kawasan zon bebas atau pulau bebas cukai dan tidak boleh dipasarkan untuk jualan di kawasan utama kastam," katanya.
Beliau berkata seorang lelaki berusia 40-an iaitu pengurus gudang terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.
Roslan berkata rampasan minuman keras yang mempunyai setem 'MDNP' dianggarkan bernilai RM559,511.90 termasuk cukai turut melibatkan serbuan di sebuah kediaman yang ditinggalkan di Muar, Johor pada 14 Jan lepas.
"Anggota Kastam terlibat telah membuat pemerhatian selama lima jam namun tiada pergerakan manakala barang kes dikesan di premis itu sebelum tindakan menyerbu kediaman itu kira-kira 2 petang dilakukan dan menemukan minuman keras berkenaan," katanya.
Terdahulu, Roslan berkata sepanjang tahun lepas, JKDM berjaya merekodkan 131 kes dengan nilai rampasan lebih RM30 juta berbanding lebih RM26 juta melibatkan 117 kes pada 2024.
-- BERNAMA
