KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Pameran Hanya Satu bertajuk “Balai Di Balai” (Tatemonologue 2.0) oleh artis Noorazah Mohd Noor di Balai Seni Negara dari 8 Jan lepas hingga 8 April ini menampilkan kelainan dengan mengangkat seni kait sebagai medium seni kontemporari yang menekankan nilai budi pekerti.
Noorazah atau lebih dikenali sebagai Xeem Noor, 41, merupakan artis solo wanita pertama mempamerkan instalasi berasaskan pengalaman beliau di Koganecho Artist-In-Residence (Koganecho AIR), Yokohama, Jepun pada 2025.
Karya Balai Di Balai (Tatemonologue 2.0) itu merupakan kesinambungan kepada karya pameran solo terdahulu, Tatemonologue, di Koganecho AIR.
Melalui pameran Tatemonologue 2.0, Xeem berkongsi pengalaman di Koganecho AIR yang diterjemahkan dalam bentuk instalasi replika berskala sebenar ruang kediamannya di Apartmen Yamamoto.
Struktur instalasi dibina menggunakan tiang-tiang rajutan yang dihasilkan di Jepun, manakala dindingnya terdiri daripada panel fabrik bercetak yang memaparkan dokumentasi visual pengalaman residensi, selain surat-surat reflektif yang diterimanya.
Xeem berkata beliau mengetengahkan elemen budi pekerti dalam pamerannya bagi memupuk rasa hormat masyarakat terhadap karya seni, khususnya seni tekstil yang sering dipandang sebagai kraf tangan semata-mata.
“Sekarang kebanyakan orang melihat seni hanya terbatas kepada lukisan atau arca, sedangkan seni tekstil juga adalah satu bentuk seni yang memerlukan masa, ketelitian dan komitmen tinggi,” katanya semasa sesi lawatan di Balai Seni Negara hari ini.
Lawatan itu sebagai sebahagian daripada program sokongan pameran bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami konsep, proses kreatif serta naratif di sebalik karya secara langsung daripada artis sendiri.
Xeem turut mengadakan persembahan mengait secara langsung pada setiap Rabu, Sabtu dan Ahad melalui penghasilan permaidani crochet bagi membolehkan pengunjung melihat sendiri tempoh masa dan proses menghasilkan seni kait, sekali gus meningkatkan penghargaan terhadap karya seni tekstil.
Berkongsi mengenai masa depan industri seni tempatan, beliau berharap lebih ramai artis muda tampil mempelbagaikan karya seni tempatan.
“Saya juga menggalakkan artis muda agar lebih berani memohon program residensi luar negara yang menawarkan pembiayaan penuh bagi membina identiti dan mematangkan kerjaya seni masing-masing,” katanya.
Memiliki latar belakang dalam bidang seni bina dan seni halus, Xeem mula menceburkan diri sebagai artis sepenuh masa pada 2021 selepas pandemik COVID-19 dan pernah mengikuti program residensi seni di Sepanyol serta Frankfurt, Jerman.
-- BERNAMA
