EKONOMI

KEE MING SASAR PERTUMBUHAN DALAM SEKTOR TBB, PUSAT DATA DALAM TEMPOH TERDEKAT

12/02/2026 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Kee Ming Group Bhd yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini menyasarkan pertumbuhan berterusan dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB), kemudahan ketersambungan dan voltan tinggi (HV), pembangunan pusat data serta reka dan bina projek perindustrian dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pengarah Urusannya Liew Kar Hoe berkata prospek permintaan yang memberangsangkan dalam sektor-sektor berkenaan membuka ruang kepada syarikat untuk memperluas jejak operasi tanpa mengehadkan tumpuan pasaran, termasuk meneroka potensi di Malaysia Timur, khususnya Sarawak.

“Malaysia Timur merupakan antara pasaran yang amat berpotensi dan sedang kami nilai secara menyeluruh. Kami menjangkakan pertumbuhan yang kukuh, terutama di Sarawak.

“Terdapat banyak projek berkaitan TBB serta pembangunan perindustrian dan komersial yang sedang berkembang pesat di Kuching,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan akan terus mengamalkan pendekatan strategik dan berdisiplin dalam pemilihan projek bagi memastikan kemampanan pendapatan serta memanfaatkan momentum pertumbuhan dalam sektor berkaitan di seluruh negara.

Setakat Disember 2025, buku pesanan belum dibil kumpulan berjumlah RM176 juta, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang lebih jelas bagi tempoh terdekat.

Liew berkata syarikat optimis memperoleh kontrak baharu pada tahun hadapan, didorong permintaan berterusan khususnya dalam segmen TBB dan pusat data yang semakin berkembang.

Dari segi prestasi penyenaraian, Kee Ming dibuka pada harga 79 sen sesaham, meningkat 41 sen atau 107.89 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 38 sen, dengan 15.51 juta saham diniagakan pada sesi dagangan awal.

Dalam ucapan pembukaannya, Liew berkata dana yang diperoleh daripada IPO akan memperkukuh keupayaan kumpulan untuk melaksanakan projek berskala lebih besar dan kompleks dalam segmen elektrik, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal (ACMV), perlindungan kebakaran serta sistem solar.

Langkah itu sejajar dengan strategi syarikat untuk terus menawarkan penyelesaian kejuruteraan yang selamat, berdaya harap dan berkualiti tinggi.

Dalam kenyataan berasingan, syarikat memaklumkan bahawa ia berjaya mengumpul kira-kira RM25.32 juta menerusi penerbitan 66.63 juta saham biasa baharu.

Daripada jumlah itu, RM13 juta diperuntukkan sebagai modal kerja projek bagi menyokong pelaksanaan projek masa depan, manakala RM4 juta disalurkan untuk keperluan bon pelaksanaan.

Sebanyak RM1.72 juta diperuntukkan bagi pengembangan pasukan projek dan RM1 juta untuk pemerolehan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Selain itu, RM0.6 juta diperuntukkan sebagai modal kerja am manakala RM5 juta digunakan untuk menampung fi dan perbelanjaan berkaitan pelaksanaan IPO.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan