AM

GM KLANG BERWAJAH BAHARU, TARIK LEBIH RAMAI PENGUNJUNG

12/02/2026 04:26 PM

SHAH ALAM, 12 Feb (Bernama) -- GM Klang tampil dengan wajah baharu lebih segar menerusi pertambahan penyewa serta pengukuhan konsep pusat sehenti gaya hidup yang merangkumi elemen beli-belah, kecergasan, rekreasi dan komuniti di bawah satu bumbung.

Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman berkata transformasi itu sejajar dengan usaha memacu pelancongan domestik termasuk memperkasakan ekonomi setempat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan fokus kepada pengalaman pengunjung yang lebih menyeluruh dan selesa.

“Penstrukturan semula GM Klang memberi tumpuan kepada pemilihan penyewa strategik dan penambahbaikan kemudahan untuk pengalaman pelanggan yang lebih baik.

“Pembaharuan ini termasuk penjenamaan semula ruang runcit dan pengurusan aliran pengunjung supaya suasana lebih kondusif dan mesra keluarga,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Norsuhaida berkata antara kemudahan baharu beroperasi ialah KFitness yang menawarkan gimnasium moden berkonsepkan dalaman kontemporari, Gen7 Snooker sebagai pusat snuker 24 jam dan Doremart yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.

Beliau berkata gabungan penyewa baharu itu membolehkan GM Klang menawarkan pengalaman lebih pelbagai meliputi aktiviti kecergasan dan rekreasi tertutup sehingga kepada runcit dan keperluan asas sekali gus meningkatkan tempoh kunjungan pengunjung.

“Pengiktirafan Anugerah Emas di bawah Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) menguatkan komitmen kami untuk mengekalkan piawaian perkhidmatan yang tinggi.

“Pengiktirafan ini juga menjadi asas untuk terus memperbaik kebersihan, keselamatan dan pengurusan fasiliti bagi memastikan keselesaan pengunjung,” katanya.

Dalam masa sama, Norsuhaida memaklumkan Doremart akan dibuka secara rasmi pada 9.30 pagi Sabtu ini (14 Feb) sekali gus menandakan pembukaan cawangan pertama rangkaian pasar raya dari Sarawak di Semenanjung Malaysia dengan GM Klang sebagai lokasi rintis.

Beliau berkata pasar raya berkeluasan lebih 10,000 kaki persegi itu dijangka menjadi tumpuan menjelang Ramadan dengan pelbagai barangan keperluan harian dan promosi khas untuk pengunjung.

“Pembukaan Doremart melengkapkan fasa awal transformasi GM Klang dengan menyediakan barangan runcit asas dan memperkukuh fungsi pusat ini sebagai destinasi keperluan harian.

“Langkah ini turut menyokong strategi GM Klang bagi meningkatkan tempoh kunjungan pengunjung dan kepelbagaian pilihan dalam satu lokasi,” katanya.

Norsuhaida berkata inisiatif berterusan itu dijangka memperkukuh peranan GM Klang sebagai hab dagangan, pelancongan dan gaya hidup serantau dengan penekanan kepada pertumbuhan mampan serta penglibatan komuniti setempat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan