AM

KES AKTA KAWALAN BEKALAN MENURUN DI PERLIS TAHUN LEPAS

13/02/2026 06:31 PM

KANGAR, 13 Feb (Bernama) -- Kes berkaitan Akta Kawalan Bekalan 1961 yang direkodkan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis pada tahun lepas menunjukkan trend penurunan apabila terdapat hanya 31 kes berbanding 99 kes pada 2024.

Pengarah KPDN Perlis Rohaida Hassan berkata nilai rampasan daripada jumlah kes tahun lepas itu adalah sebanyak RM124,659.25, manakala rampasan pada tahun sebelumnya berjumlah RM1,222,429.35.

“Kes ini melibatkan kegiatan menyeleweng dan menyeludup keluar barangan kawalan bersubsidi yang terdiri daripada minyak petrol, diesel, minyak masak, gula, tepung dan gas petroleum cecair (LPG),” katanya kepada Bernama di Pejabat KPDN Perlis di sini baru-baru ini.

Rohaida berkata antara penyumbang penurunan kes itu ialah pelaksanaan Ops Tiris yang bermula pada Januari 2024 selain pendekatan kerajaan melaksanakan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta Budi MADANI RON95 (BUDI95), selain Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).

Beliau berkata kes melibatkan rampasan petrol dan diesel serta minyak masak sepanjang 2025 menurun dengan ketara berbanding kes yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

“Menerusi pelaksanaan SKPS dan SKDS, BUDI95 dan eCOSS ini dilihat berkesan untuk menangani kes penyelewengan petrol, diesel dan minyak masak bersubsidi ini," katanya.

Rohaida berkata meskipun kes itu menurun, pihaknya sentiasa memperkasakan penguatkuasaan yang tegas dari semasa ke semasa pada semua peringkat dan lokaliti termasuk kawasan sempadan dan perindustrian selain kawasan bandar serta luar bandar.

“Pada masa sama, orang ramai diharap dapat menjadi mata dan telinga kepada KPDN Perlis, mereka yang mempunyai sebarang aduan ataupun maklumat penyelewengan barangan bersubsidi ini, diminta terus membuat laporan kepada pihak kami,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama agensi penguatkuasaan berkaitan bagi mempergiatkan serta mempertingkatkan kawal selia dan operasi terhadap pengedaran barang kawalan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk rakyat Malaysia dan tidak berlaku ketirisan yang akan merugikan negara ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan