SINGAPURA, 13 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan memperkenalkan sistem janji temu baharu dan prosedur pertanyaan yang disemak semula bagi perkhidmatan konsul bermula 16 Feb ini, sebagai langkah untuk meningkatkan kecekapan dan penyampaian perkhidmatan.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, ia memaklumkan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan konsul perlu membuat tempahan slot janji temu secara dalam talian lebih awal melalui http://mhc-consular-appointments.com di bawah sistem janji temu baharu itu.
"Dengan pelaksanaan sistem baharu ini, semua permohonan janji temu yang dibuat melalui e-mel tetapi masih belum menerima maklum balas perlu melalui sistem baharu ini.
"Permohonan janji temu yang dihantar menerusi e-mel tidak lagi akan diterima atau diproses," menurut kenyataan itu.
Selain itu, Suruhanjaya Tinggi turut memaklumkan bahawa semua pertanyaan melalui telefon mengenai perkhidmatan konsul akan dihentikan - sebaliknya, semua pertanyaan hendaklah dikemukakan secara bertulis melalui e-mel ke consular@mhc.org.sg.
"Langkah-langkah ini diperkenalkan bagi memastikan akses yang adil dan tepat pada masanya, kecekapan operasi, maklumat yang konsisten, serta penyampaian perkhidmatan yang teratur," katanya.
-- BERNAMA
