Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka kekal stabil minggu depan susulan kenaikan kukuh baru-baru ini, dengan jumlah dagangan dijangka kekal rendah sepanjang minggu cuti yang panjang.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran dijangka kekal positif selagi wujud minat belian ketika harga rendah dan aliran masuk dana asing yang berterusan.
“Aktiviti pengambilan untung dari semasa ke semasa mungkin berterusan, khususnya dalam kalangan saham wajaran tinggi yang mencatatkan prestasi lebih baik, apabila pelabur merealisasikan keuntungan dan menilai semula kedudukan pelaburan mereka.
“Sekiranya indeks berjaya bertahan di atas paras sokongan 1,730–1,740, sentimen pasaran dijangka kekal positif dan ini memberi peluang kepada indeks untuk mencatat kenaikan selanjutnya. Justeru, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam lingkungan 1,730 hingga 1,760 minggu hadapan,” katanya kepada Bernama.
Seiring pandangan itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Bursa Malaysia dijangka bergerak mendatar dalam julat dagangan yang terhad minggu depan mencerminkan tempoh dagangan yang lebih singkat serta penyusutan kecairan serantau susulan cuti Tahun Baharu Cina.
“Aliran dana asing ke dalam saham wajaran tinggi minggu depan dijangka lebih bersifat taktikal dan dipengaruhi faktor luaran, sekali gus menjadikan pasaran lebih sensitif terhadap perkembangan global semalaman berbanding sentimen serantau.
“Dengan pasaran China ditutup hampir sepanjang minggu, selain penutupan sebahagian atau sepenuhnya di Hong Kong dan Singapura, aktiviti penentuan harga serta kecenderungan mengambil risiko di peringkat serantau dijangka lebih terhad,” kata beliau.
Mohd Sedek berkata selepas ditutup pada paras 1,739.54 pada Jumaat, turun 11.31 mata, indeks dijangka bergerak dalam julat 1,735–1,745 memandangkan keadaan kecairan rendah lazimnya mengehadkan momentum kenaikan dan penyusutan mendadak.
Bursa Malaysia juga dijangka menyaksikan pergerakan yang lebih tertumpu kepada saham dan sektor tertentu, berbanding pergerakan menyeluruh pada keseluruhan indeks.
“Meskipun ketidaktentuan global berkaitan gangguan yang dipacu kecerdasan buatan terus mempengaruhi selera risiko keseluruhan, impaknya terhadap indeks utama dijangka tidak begitu ketara memandangkan indeks penanda aras bertumpu kepada sektor kewangan, utiliti dan pengguna.
“Secara keseluruhan, sentimen pasaran minggu depan dijangka dalam mod berhati-hati tetapi terkawal, dengan kecenderungan untuk bergerak dalam julat terhad sementara pelabur menunggu penyertaan penuh pasaran serantau dan isyarat luaran yang lebih jelas,” katanya.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 6.71 mata kepada 1,739.54 daripada 1,732.83 minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 naik 93.82 mata kepada 12,564.81 dan Indeks FBM Emas meningkat 98.51 mata kepada 12,738.20.
Indeks FBM Mid 70 melonjak 335.55 mata kepada 17,569.67, Indeks FBM Emas Shariah bertambah 116.52 mata kepada 12,222.01 dan Indeks FBM ACE meningkat 110.26 mata kepada 4,741.05.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 46.94 mata kepada 21,523.88, Indeks Tenaga meningkat 12.09 mata kepada 751.1, Indeks Perladangan naik 53.3 mata kepada 8,376.93 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menokok 1.61 mata kepada 175.08.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 12.87 bilion unit bernilai RM13.70 bilion berbanding 12.75 bilion unit bernilai RM12.97 bilion minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 7.12 bilion unit bernilai RM12.5 bilion daripada 7.22 bilion unit bernilai RM11.84 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran susut kepada 3.46 bilion unit bernilai RM394.01 juta berbanding 3.60 bilion unit bernilai RM430.75 juta minggu lepas.
Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.28 bilion unit bernilai RM803.8 juta daripada 1.92 bilion unit bernilai RM680.70 juta pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA
