Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tidak berubah dengan kecenderungan menyusut minggu depan berikutan cuti Tahun Baharu Cina memandangkan pasaran China dan Malaysia ditutup sempena perayaan itu.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata pasaran dijangka dalam kecenderungan menyusut berikutan tahap stok yang masih tinggi serta permintaan yang lemah sejak beberapa minggu ini.
Beliau berkata minat belian yang suram daripada negara pengimport utama serta inventori yang mencukupi akan terus mengekang kenaikan harga walaupun terdapat isyarat sokongan daripada minyak makan pesaing.
“Kami menjangkakan harga diniagakan antara RM3,950 hingga RM4,180 satu tan minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata niaga hadapan MSM akan diniagakan menyusut berikutan aktiviti dagangan yang perlahan susulan cuti panjang Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata cuti perayaan yang panjang menyebabkan banyak kilang dan loji pemprosesan minyak sawit ditutup sementara manakala ramai peniaga antarabangsa turut bercuti lebih lama.
Teh berkata paras stok di Malaysia dan Indonesia kekal mencukupi berikutan permintaan fizikal yang perlahan.
Bagaimanapun, beliau berkata minat belian adalah dijangka daripada rantau pengimport utama seperti Pakistan, India, negara Timur Tengah dan Kesatuan Eropah.
“Oleh itu, harga MSM dijangka diniagakan antara RM3,700 hingga RM3,800 satu tan minggu depan,” katanya.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, kontrak Februari 2026 merosot RM132 kepada RM3,950 satu tan, Mac 2026 susut RM84 kepada RM4,037 dan April 2026 menyusut RM104 kepada RM4,050.
Kontrak Mei 2026 berkurangan RM117 kepada RM4,046 satu tan, Jun 2026 susut RM118 kepada RM4,040 dan Julai 2026 turun RM115 kepada RM4,035.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 392,823 lot daripada 274,729 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka menokok kepada 230,392 kontrak daripada 219,059 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal baharu untuk Februari Selatan susut RM80 kepada RM4,050 satu tan.
-- BERNAMA
