Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan lebih kukuh dan kekal pada sekitar paras 3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu hadapan, disokong oleh momentum pertumbuhan ekonomi domestik yang teguh seterusnya mempengaruhi sentimen pasaran.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan kini berlegar sekitar RM3.90 berbanding dolar AS, namun berpotensi menguji paras rintangan serta-merta pada RM3.87 minggu depan.
“Rentetan pertumbuhan kukuh akan terus membentuk sentimen pelabur minggu depan, yang akan memberi manfaat kepada ringgit dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada Bernama.
Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) pula berpandangan kelemahan dolar AS kekal sebagai pemacu utama pengukuhan ringgit.
Bank pelaburan itu menambah Indeks Dolar AS (DXY) susut di bawah paras 97.0 apabila pasaran memilih untuk menjual pegangan berbanding terus mengekalkannya.
“Tumpuan akan beralih kepada proses pengesahan data inflasi AS menerusi beberapa semakan.
“Pelabur akan meneliti minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) bagi mendapatkan petunjuk mengenai pasaran guna tenaga yang tepu manakala angka inflasi kekal penting bagi penetapan semula kadar faedah,” menurutnya menerusi nota penyelidikan.
Data eksport dan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia akan menguji sama ada kelembapan luaran memberi kesan kepada perdagangan, tambahnya.
Kenanga IB menjelaskan data positif AS tidak lagi menjamin kekuatan berterusan dolar AS kerana aliran kepelbagaian strategik dan jangkaan pertumbuhan yang disemak semula telah meningkatkan kecenderungan pasaran untuk merealisasikan keuntungan ketika kenaikan.
“Bagi ringgit, hala tuju luaran dolar AS kekal dominan manakala kemampanan domestik berperanan sebagai sokongan. Pemulihan berterusan dolar AS memerlukan kadar inflasi yang lebih stabil dan hasil sebenar yang lebih tinggi,” menurutnya.
Sebelum ini, Bank Negara Malaysia melaporkan mata wang tempatan melonjak 3.9 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2025, dipacu oleh faktor luaran dan domestik.
Pada Khamis, ringgit mencecah 3.8995 berbanding dolar AS, menghampiri paras tertinggi dalam tempoh hampir lapan tahun, kali terakhir dicatatkan ketika 23 April, 2018 pada 3.8965/8995.
Berasaskan minggu ke minggu, ringgit meningkat untuk ditutup lebih kukuh pada 3.9060/9115 berbanding dolar AS daripada 3.9440/9525 pada Jumaat minggu lepas.
Ringgit juga ditutup lebih tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama minggu ini.
Unit domestik susut berbanding yen Jepun kepada 2.5435/5474 daripada 2.5111/5167 ketika ditutup Jumaat minggu lepas, namun mengukuh berbanding pound British kepada 5.3211/3286 daripada 5.3548/3663.
Ringgit turut meningkat berbanding euro kepada 4.6325/6390 daripada 4.6508/6608.
Ringgit juga lebih stabil kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0904/0950 daripada 3.0965/1034 pada Jumaat minggu lepas dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 231.9/232.4 daripada 233.6/234.3.
Ringgit naik berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.74 daripada 6.73/6.75 sebelum ini namun, turun berbanding baht Thailand kepada 12.5607/5849 daripada 12.4609/4933.
-- BERNAMA
