AM

DKKN 2026-2030 PASTIKAN KESEJAHTERAAN KELUARGA HADAPI CABARAN MASA DEPAN - NANCY

14/02/2026 09:23 PM

IPOH, 14 Feb (Bernama) - Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) yang dilancarkan hari ini adalah komitmen kerajaan dalam memastikan keluarga di Malaysia terus kukuh, berdaya tahan serta dilindungi dalam menghadapi cabaran masa depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata dasar itu digubal sebagai kerangka dasar komprehensif memastikan kesejahteraan keluarga menjadi keutamaan pembangunan negara terutamanya dalam era perubahan sosioekonomi dan transformasi digital.

“Dasar ini menggunakan pendekatan kitaran hayat daripada praperkahwinan, pembentukan keluarga, keibubapaan hingga ke fasa warga emas supaya setiap peringkat kehidupan diberi perhatian yang sewajarnya.

“Bagi memastikan pelaksanaannya jelas dan berfokus, Pelan Tindakan Keluarga Negara (PTKN) 2026-2030  telah dirangka dengan tanggungjawab ditetapkan kepada kementerian, agensi, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) dan Jelajah Sejahtera MADANI - Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan DKKN yang turut dihadiri isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, ketika sidang media Nancy menjelaskan keberkesanan DKKN 2026-2030 akan diukur melalui penanda aras Indeks Kesejahteraan Keluarga dua tahun sekali. 

Penekanan juga diberikan kepada elemen K.A.S.I.H sebagai asas penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmoni dan sejahtera.

“Nilai-nilai kasih sayang ini juga akan diterjemahkan secara praktikal melalui pelaksanaan pelbagai program yang dirancang. Kali ini kita perkuatkan lagi program keibubapaan supaya kita dapat mengurangkan masalah seperti kehamilan usia remaja kerana inilah isu yang ditanya kepada kita di peringkat antarabangsa. 

“Kita baru saja balik daripada Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak di Geneva dan ini antara isu diminta supaya kita perketatkan,” katanya.

DKKN digerakkan melalui lima teras strategik iaitu Memartabatkan Institusi Perkahwinan Dan Kekeluargaan; Memperkasakan Keupayaan Perancangan Keluarga; Meningkatkan Kemampuan Dan Kualiti Keibubapaan; Menyokong Pemerkasaan Keluarga Secara Inklusif dan Menambahbaik Pengurusan Konflik Keluarga. 

Selain itu, DKKN juga mempunyai 16 strategi, tiga mekanisme pemudah cara, serta 43 tindakan bersepadu yang diselaraskan bagi memperkukuh institusi keluarga di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan