AM

ANWAR HADIR PERAYAAN PONGGAL DI IPOH

14/02/2026 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkesempatan hadir bersama-sama masyarakat Hindu yang meraikan perayaan Ponggal di Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak bersempena dengan lawatan kerja beliau ke Tambun.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata dalam kesempatan itu, beliau menitipkan pesanan bahawa Malaysia mesti terus aman dan segala permasalahan harus ditangani secara berhemah.

“Saya sampaikan bahawa negara ini mesti terus aman dan menjunjung kedaulatan undang-undang, dan segala permasalahan memerlukan penanganan secara berhemah, bukan dengan terus memicu pertelingkahan,” katanya menerusi perkongsian itu.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai usaha kerajaan dalam menyelesaikan isu tempat ibadat yang dibina secara tidak sah.

“Seperti banyak isu warisan lain yang Kerajaan MADANI telah selesaikan, isu tempat ibadat yang dibina secara tidak sah ini juga akan diselesaikan dengan berani, bijaksana serta tuntas tanpa mengorbankan keamanan yang telah lama terbina,” kata Anwar.

Ponggal ialah perayaan menuai dan kesyukuran masyarakat Tamil bagi menzahirkan penghargaan kepada Tuhan atas limpahan hasil pertanian. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan