AM

MODUL ISTITO’AH KESIHATAN PERKUKUH PERSEDIAAN JEMAAH HAJI

15/02/2026 03:01 PM

KAJANG, 15 Feb (Bernama) -- Persediaan menunaikan haji tidak hanya bertumpu pada ilmu ibadah dan kewangan sebaliknya turut memberikan penekanan pada aspek kesihatan fizikal dan mental jemaah selari dengan keperluan sebenar menghadapi cabaran di Tanah Suci.

Perubahan pendekatan itu dirasai sendiri peserta Kursus Intensif Haji Musim 1447H/2026M apabila Tabung Haji (TH) memperkenalkan modul istito’ah kesihatan bertujuan membantu jemaah memahami dan menilai tahap kesediaan fizikal serta mental sebelum berangkat.

Modul tersebut bukan sekadar teori sebaliknya menjadi dorongan praktikal kepada jemaah untuk menilai tahap kesihatan masing-masing dan membuat perubahan gaya hidup lebih awal bagi membina stamina dan ketahanan emosi.

Bakal jemaah, Md. Azinor Sulaiman, 55, berkata modul kesihatan yang diperkenalkan menyedarkannya bahawa penjagaan kecergasan perlu dimulakan lebih awal bukan ketika hampir waktu berangkat.

"Persediaan rapi ini penting kerana kami bakal berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca panas, risiko penyakit berjangkit dan ibadah yang memerlukan pergerakan fizikal yang kerap.

"Sehubungan itu, kesihatan ialah perkara utama. Kita boleh ada simpanan cukup tetapi jika fizikal tak bersedia, sukar untuk menunaikan haji,” katanya ketika ditemui selepas kursus berkenaan di Dewan Masjid Penjara Kajang di sini, hari ini. 

Sementara itu, bakal jemaah Rohana Yahaya, 55, berkata pendedahan menerusi kursus tersebut banyak membantu jemaah memahami kepentingan mengawal berat badan, menjaga pemakanan serta melakukan senaman ringan sebagai sebahagian daripada persediaan awal.

"Ini menjadi motivasi untuk saya memulakan perubahan kecil seperti mengurangkan gula dan membiasakan diri berjalan kaki setiap hari," katanya.

Bagi Silfia Normawan, 64, pendedahan menyeluruh mengenai cabaran fizikal dan emosi sepanjang mengerjakan haji membantunya membina keyakinan diri selain memberikan gambaran lebih jelas tentang perjalanan ibadah yang bakal dilalui.

Beliau berkata persediaan kesihatan yang rapi menjadikan pengalaman mengerjakan haji lebih terjamin kerana jemaah dapat memahami kemampuan diri sebelum menunaikan rukun Islam kelima itu. 

"Pendekatan holistik ini menjadikan persediaan haji bukan sekadar memenuhi syarat ibadah tetapi satu proses membina disiplin diri bermula dari rumah hingga ke Tanah Suci," katanya.

Seramai 31,600 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadah haji tahun ini dengan penerbangan pertama dijadualkan pada 18 April.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan