AM

10,000 PENGUNJUNG DIJANGKA BERKUNJUNG KE FESTIVAL DAMCAMP TASIK PEDU

15/02/2026 08:41 PM

SUNGAI PETANI, 15 Feb (Bernama) -- Festival Perkhemahan dan Kebudayaan Damcamp di Tasik Pedu, Padang Terap yang menjadi acara ikonik tahunan dijangka dihadiri 10,000 pengunjung termasuk dari luar negara pada tahun ini.

Pegawai Komunikasi Korporat Kedah Tourism Mohd Rafie Azimi berkata penganjuran festival dari 17 hingga 19 April menyasarkan pengunjung antarabangsa seperti dari Thailand, Singapura dan China.

“Ini tahun ketiga penganjuran dan menjadi perkhemahan terbesar zon utara di kawasan seluas 2.3 hektar.

“Program ini menjadi acara ikonik Padang Terap dan kita berhasrat terus memperkasakan acara ini dan seterusnya menarik penyertaan lebih ramai termasuk dari Eropah dan benua lain,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata festival itu melibatkan perkhemahan karavan, motorhome, perkhemahan berkeluarga atau solo, berbasikal, memancing dengan kayak, larian, eksplorasi alam dan himpunan komuniti motosikal scrambler, vespa serta go-kart.

“Selain itu, acara yang menggabungkan sukan rakyat, sukan tradisional, warisan dan kesenian seperti wayang kulit, tarian menora, ghazal parti dan boria Pulau Pinang serta persembahan muzik tempatan dan antarabangsa turut diadakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Muda Sukarelawan Ashabul Alkahfi, Ahmad Syairozi Atiqullah Ghazali berkata penganjuran program itu akan merancakkan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

“Tahun lepas kita menerima penyertaan kira-kira 700 peserta dan hampir 7,000 pengunjung. Tahun ini kita menyasarkan 1,000 peserta,” katanya.

Maklumat lanjut program dan pendaftaran peserta boleh dilakukan menerusi Facebook Kedah Tourism dan DamCamp.my.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan