KUALA NERUS, 15 Feb (Bernama) -- Pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei, Muhammad Hamiz Mirza Sudirman dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Rushda Nuha Ramly, masing-masing dinobatkan sebagai qari dan qariah dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi ASEAN (MTHQ IPT ASEAN) 2025/2026, di sini, hari ini.
Muhammad Hamiz, 23, pelajar tahun dua Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam dan Rushda Nuha, 22, pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan serta sijil penghargaan.
Hadiah disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Muhammad Hamiz Mirza berkata kejayaan itu didedikasikan khas buat bapanya, Sudirman Metusin, 48, yang sentiasa memberi dorongan dan galakan untuk beliau menyertai pertandingan berkenaan.
Beliau yang berasal dari Bandar Seri Begawan, Brunei, berkata bapanya juga guru pertama yang mengajarnya membaca al-Quran dan taranum sebelum mendapat pendidikan formal menerusi Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) selama dua tahun.
Sementara itu, Rushda Nuha yang berasal dari Sungai Besar, Selangor, berkata beliau tidak menyangka dapat meraih gelaran juara memandangkan persaingan sangat sengit, terutama daripada peserta Malaysia.
Beliau berkata kesibukan menghadapi peperiksaan akhir menyebabkannya hanya sempat berlatih selama seminggu sebelum pertandingan.
Dalam pada itu, Sirajuddin berkata MTHQ IPT ASEAN 2025/2026 merupakan edisi ketiga penganjuran pertandingan itu yang diadakan di universiti berkenaan.
Beliau berkata seramai 211 peserta daripada 50 institusi pengajian tinggi (IPT) mengambil bahagian pada peringkat saringan sebelum 52 daripadanya terpilih ke peringkat akhir.
“Tahun ini, buat pertama kali pertandingan membabitkan pelajar dari negara ASEAN seperti Indonesia dan Brunei,” katanya.
-- BERNAMA
