AM

KEMENTERIAN PERTAHANAN DAN KEMENTERIAN KEWANGAN BINCANG PEMBEKUAN DANA ATM

16/02/2026 01:07 PM

PETALING JAYA, 16 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertahanan sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung status dana perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibekukan sebelum ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu bagi memastikan perkara yang penting diberi perhatian segera agar operasi dan kesiapsiagaan ATM tidak terjejas.

"Jadi, kita (Kementerian Pertahanan) sedang berunding dengan Kementerian Kewangan berhubung isu ini.

"Apa-apa pun, saya beri jaminan soal operasi berjalan lancar dan baik, manakala kesiapsiagaan ATM dapat terus kita pertahankan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skuadron Rapid Rail 50, Regimen Pakar Keretapi Regimen Askar Jurutera Diraja Askar Wataniah di Menara Prasarana di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Leftenan Kolonel Amir Hamdan.

Pada 16 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Pembekuan itu dibuat berikutan kontroversi yang melanda ATM berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi ATM.

Susulan itu, Mohamed Khaled berkata pihaknya juga akan meneliti perincian pelaksanaannya selaras dengan kerangka tadbir urus, peraturan kewangan dan perundangan yang berkuat kuasa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan