KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Rakyat negara ini perlu terus menghormati serta meraikan kepelbagaian demi masa depan Malaysia yang aman, bersatu dan penuh harapan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua yang akan menyambutnya esok, Aaron berkata biarpun berbeza budaya, bahasa dan kepercayaan, hakikatnya setiap rakyat di negara ini hidup sebagai sebuah keluarga besar Malaysia yang belajar untuk saling memahami dalam perbezaan dengan penuh rasa hormat.
"Kita melangkah masuk ke Tahun Kuda yang merupakan simbol kekuatan, ketekunan dan kesetiaan. Nilai ini jugalah membina sebuah negara bangsa yang bersatu dan bermaruah.
"Tahun Baharu Cina ini bukan sekadar peralihan tahun, tetapi saat untuk kita merenung, bersyukur dan memperbaharu harapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Aaaron turut menasihati masyarakat di negara ini untuk menggunakan media sosial dengan empati, berhemah dam beradab, sambil mengingatkan bahawa setiap perkongsian di platform berkenaan mempunyai kesan yang mampu menyembuh atau merobek hubungan sesama rakyat.
Turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri pula berkata Tahun Baharu Cina diharapkan membawa sinar baharu untuk semua memperkukuh perpaduan, menyemai nilai saling menghormati serta mempererat hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan yang menjadi asas kekuatan negara ini.
"Dalam kepelbagaian budaya dan tradisi, kita berdiri sebagai satu keluarga besar Malaysia saling melengkapi, saling menyokong dan bersama-sama membina masa depan yang lebih makmur dan sejahtera.
"Semoga Tahun Kuda ini membawa keberanian, ketabahan dan kejayaan berterusan kepada kita semua," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengucapkan mereka yang masih dalam perjalanan agar pulang dengan selamat dan menyeru orang ramai supaya menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan serta pekerja perkhidmatan penting yang terus bertugas sepanjang cuti musim perayaan ini.
“Dedikasi mereka membolehkan ramai orang berkumpul dengan keluarga,” katanya sambil mengucapkan agar semua dapat menikmati pertemuan yang menggembirakan, diberikan kesihatan yang baik dan kebahagiaan sepanjang tahun.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berharap Tahun Baharu Cina ini akan membawa kebahagiaan, kesihatan dan rezeki yang banyak kepada semua.
"Mari raikan dengan keluarga dan kawan-kawan serta orang tersayang. Semoga setiap hari kita penuh dengan senyuman, kegembiraan dan keceriaan," katanya menerusi perkongsian video di Facebook.
-- BERNAMA
