AM

TABUNG KASIH@HAWANA BAWA SINAR PADA PENERIMA SEMPENA TAHUN BAHARU CINA DAN RAMADAN

16/02/2026 07:28 PM

JOHOR BAHRU, 16 Feb (Bernama) -- Sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan tahun ini pastinya amat bermakna buat dua bekas pengamal media yang mempunyai masalah kesihatan di Skudai apabila menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA hari ini. 

Lebih manis lagi,  bekas jurukamera Media Prima, Idrus Rahmat, 55 dan bekas wartawan Oriental Daily, Low Sock Ken, 68 menerima sendiri bantuan berupa sumbangan wang tunai serta barangan keperluan asas daripada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di kediaman mereka.

Ini sekali gus menjadikan mereka masing-masing sebagai penerima ke-643 dan 644 sejak inisiatif Tabung Kasih@HAWANA diperkenalkan pada April 2023, yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Idrus yang disahkan menghidap kanser hati pada tahun lepas menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan terhadap pengamal media menerusi bantuan berkenaan.

“Saya agak terkejut ketika menerima khabar gembira ini, tapi sangat bersyukur kerana kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi tetap mengambil berat terhadap kami walaupun sudah tidak bertugas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Skudai Kiri, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj. 

Idrus, bapa kepada dua anak yang telah berkhidmat selama 29 tahun bersama Media Prima itu turut menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis dan kini bergantung kepada bantuan bulanan anaknya.

Sementara itu, Low yang menghadapi masalah jantung, tiroid dan katarak berkata beliau tidak menyangka akan menerima kunjungan Fahmi di rumahnya di Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

“Bekas pengamal media seperti saya yang sudah tua masih diingati, ini sangat mengharukan,” katanya yang sebelum ini menjalani prosedur pemasangan stent jantung pada 2018 dan masih memerlukan rawatan serta bekalan ubat-ubatan secara berterusan.

Beliau pernah berkhidmat di pelbagai syarikat akhbar bahasa Cina sejak 1982 termasuk Nanyang Siang Pau, Sin Chew Daily serta The Sun dan kali terakhir bekerja sebagai wartawan di Oriental Daily pada 2021.

Sementara itu, Fahmi berkata beberapa perkara akan disusuli termasuk berhubung dengan exco kerajaan negeri dan Ahli Parlimen berkaitan bagi mendapatkan bantuan lanjut untuk Idrus, termasuk dari segi rawatan hospital dan pembaikan bumbung rumah. 

"Saya harap kehadiran saya dan rakan-rakan hari ini memberi semangat kepada saudara Idrus yang kini menghadapi cabaran besar," katanya.

Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 merupakan simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menzahirkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap pengamal media.

Inisiatif ini membantu wartawan serta petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau sudah bersara yang berdepan kesempitan hidup, masalah kesihatan atau memerlukan bantuan segera dalam usaha meringankan beban mereka. 

--BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan