AM

FAHMI MINTA KELAB MEDIA NEGERI KEMUKA USUL PERKUKUH KEBAJIKAN VETERAN INDUSTI

16/02/2026 08:09 PM

JOHOR BAHRU, 16 Feb (Bernama) -- Kelab media negeri di bawah Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) diminta mengemukakan usul khusus bagi memperkukuh kebajikan bekas pengamal media termasuk mewujudkan mekanisme yang lebih tersusun untuk membantu golongan veteran dalam industri itu.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata cadangan itu boleh dipertimbang sebelum sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bagi membolehkan satu rangka kerja yang lebih sistematik disediakan untuk kebajikan bekas pekerja sektor media.

“Mungkin sebelum HAWANA (pada Jun) nanti, GKMM boleh mempertimbangkan satu usul untuk kita lihat bentuk kebajikan yang boleh diberikan kepada bekas pekerja dalam sektor media, supaya ia dapat distrukturkan dengan lebih teratur,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di Skudai di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat bekas pengamal media yang berasa terpinggir selepas bersara walaupun sebahagian lagi memilih untuk meneruskan kehidupan secara lebih peribadi, justeru pendekatan lebih tersusun dapat membantu mereka yang masih memerlukan sokongan sosial dan kebajikan.

Fahmi juga berkata setiap kelab media negeri perlu memainkan peranan proaktif dalam mengenal pasti veteran industri itu yang memerlukan perhatian dan bantuan selain menyalurkan cadangan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Biro Bernama Johor Hasnah Jusid.

Presiden GKMM Mohamad Fauzi Ishak pula berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Sekretariat HAWANA untuk mengenal pasti veteran media yang memerlukan bantuan.

“Kami akan menggerakkan kelab-kelab media negeri untuk mencari veteran pengamal media di negeri masing-masing bagi memastikan tiada pihak yang tercicir daripada menerima bantuan dan kebajikan ini,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai Tabung Kasih@HAWANA, Fahmi berkata sejak inisiatif tersebut dilaksanakan pada April 2023, seramai 644 individu telah menerima bantuan, dan usaha berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata selain bantuan kewangan, keperluan yang perlu diberi perhatian ialah sokongan bagi mendapatkan rawatan di hospital atau perkhidmatan tertentu, dan pihaknya bersedia meneliti cadangan yang dikemukakan oleh kelab media.

Terdahulu, Fahmi meluangkan masa menziarahi dan menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada dua pengamal media yang kini berdepan masalah kesihatan di Skudai.

Mereka ialah Idrus Rahmat, yang menghidap kanser hati serta masalah jantung, dan Low Sock Ken yang menghidap penyakit jantung, tiroid serta katarak selain memerlukan rawatan susulan dan bekalan ubat-ubatan selepas menjalani prosedur pemasangan sten jantung pada 2018.

Idrus, 55, ialah bekas jurukamera yang pernah berkhidmat selama 29 tahun di Media Prima Berhad manakala Low, 68, merupakan bekas wartawan Nanyang Siang Pau.

Sumbangan itu ialah sebahagian daripada inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Bernama.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan