AM

POKOK TUMBANG: MBSA PERLU TINGKAT PEMANTAUAN DI LALUAN UTAMA - EXCO

16/02/2026 08:12 PM

SHAH ALAM, 16 Feb (Bernama) -- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diminta memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pokok-pokok tua di sekitar laluan utama susulan kejadian pokok tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, di sini hari ini.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata insiden tengah hari tadi itu mencederakan dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) termasuk mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan landskap bandar raya, khususnya di kawasan tumpuan trafik dan orang ramai.

“Saya telah berhubung dengan MBSA dan meminta agar mereka memantau serta mengambil tindakan sewajarnya. Pokok-pokok tua yang mempunyai struktur akar yang semakin lemah dan mereput sewajarnya diganti dengan penanaman pokok-pokok baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata pelaksanaan audit berkala terhadap pokok matang termasuk penilaian kestabilan akar dan kanopi perlu diperkasakan sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama itu berulang.

Katanya pengurusan landskap yang berasaskan penilaian teknikal serta penyelenggaraan berjadual dapat memastikan elemen kehijauan bandar kekal selamat dan tidak menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

“Pendekatan pencegahan berterusan melalui audit teknikal membolehkan pokok berisiko dikenal pasti lebih awal sebelum berlaku kejadian tidak diingini. Langkah ini perlu disokong dengan pemetaan zon berisiko di laluan utama supaya kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan secara bersasar dan lebih berkesan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua wanita mengalami kecederaan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok di Persiaran Tun Arshad Ayub di sini.

Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata kedua-dua wanita yang dihempap pokok tumbang tersebut merupakan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM Shah Alam, iaitu Dr Nur Shahidah Ab Aziz dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan