JENAYAH & MAHKAMAH

DUA KANAK-KANAK ANTARA MANGSA DALAM KEJADIAN BUNUH DI KUANTAN

17/02/2026 02:52 PM

KUANTAN, 17 Feb (Bernama) -- Dua kanak-kanak perempuan antara lima individu yang terlibat dalam kejadian bunuh di sebuah rumah di Lorong Cerating Damai di sini, hari ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata insiden kira-kira pukul 7 pagi tadi membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 3 dan 4 tahun selain ibu bapa serta nenek mereka.

Beliau berkata pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mayat pasangan suami isteri masing-masing berusia 32 dan 28 tahun bersama dengan anak mereka ditemukan di dalam bilik, manakala mayat nenek kanak-kanak itu yang berusia 55 tahun dijumpai di ruang dapur.

Yahaya berkata lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau sebelum bertindak mencederakan diri sendiri. 

“Terdapat mangsa yang mempunyai kesan kelar dan kejadian itu disedari oleh adik lelaki suspek berusia 15 tahun yang berada di rumah itu ketika kejadian sebelum bertindak meminta bantuan.

“Siasatan awal turut mendapati lelaki itu baru sebulan berpindah menetap di rumah keluarganya selepas berhenti kerja di Selangor dan baru seminggu memulakan kerja di Kuantan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Yahaya berkata siasatan lanjut dan motif kejadian masih dalam siasatan. 

Setakat 11.35 pagi, pasukan forensik masih berada di lokasi kejadian dan mayat mangsa belum dibawa keluar dari rumah teres setingkat terbabit. 

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan