AM

PERAYAAN TAHUN BAHARU CINA DISAMBUT MERIAH DI SELURUH NEGARA

17/02/2026 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan bagi masyarakat Tionghua, malah turut diraikan rakyat pelbagai kaum sekali gus membuktikan perpaduan kekal menjadi teras utama kekuatan negara.

Daripada penganjuran rumah terbuka hinggalah kepada persembahan tarian singa di seluruh negara, perayaan ini menyatukan masyarakat dalam suasana muhibah, harmoni dan saling menghormati.

Di KUALA LUMPUR, Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan bersama pelbagai kaum menyerlahkan semangat perpaduan rakyat di negara ini.

“Saya hanya datang untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh MCA dan ini bukan sahaja satu kumpulan, tetapi sambutan semua rakyat.

“Saya lihat sambutan itu sangat baik dan menunjukkan perpaduan kita,” kata Perdana Menteri.

Di NEGERI SEMBILAN, lebih 5,000 masyarakat Tionghua terdiri daripada pengunjung tempatan dan luar negeri hadir ke Tokong Si Thian Kong Kuala Pilah seawal 7.30 pagi bagi upacara sembahyang memohon keberkatan serta kesejahteraan sempena Tahun Baharu Cina.

Pengarah Komunikasi Media tokong berkenaan Liaw Zi Xhuan, 29,  berkata pengunjung mula memeriahkan tokong terbesar di negeri ini bermula semalam untuk melihat pelbagai aktiviti disediakan pengurusan tokong selain bersembahyang dan memohon hajat.

"Setiap tahun kita akan menerima ramai pengunjung dari dalam dan luar negara seperti Singapura, China, Hong Kong, Taiwan dan Jepun bagi melihat sendiri keistimewaan dan keunikan di tokong ini selain memohon hajat meminta rezeki dan kesihatan yang baik sepanjang tahun," katanya kepada Bernama.

Di KELANTAN, kira-kira 1,500 masyarakat Tionghua mengunjungi Tokong Swee Nyet Keung untuk melakukan upacara sembahyang sempena Tahun Baharu Cina pada hari pertama perayaan itu, walaupun dalam keadaan hujan, kata Penghulu Mukim Pulai Foo Mei Ling.

“Setiap tahun tokong ini menjadi tumpuan dan biasanya pada hari kedua dan ketiga tahun baharu kita menerima hampir 500 pengunjung bersembahyang di tokong yang dibuka sehingga malam sepanjang musim perayaan,” katanya.

Di MELAKA, lebih 4,000 penduduk berbilang kaum di Machap Baru, Alor Gajah menyambut ambang Tahun Baharu Cina dengan pelbagai pengisian aktiviti seperti persembahan kesenian dan kebudayaan, jualan makanan dan barangan serta pertunjukan bunga api.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata program ambang Tahun Baharu Cina itu bukan sahaja memeriahkan sambutan perayaan tersebut, malah menjadi medium perpaduan rakyat berbilang kaum untuk meraikannya bersama-sama.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Pengerusi MCA Melaka Datuk Lim Ban Hong.

Di PERLIS, lebih 200 pengunjung pelbagai kaum tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran beberapa gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di sebuah tokong di Pauh, Arau yang berlangsung dari 10.30 malam hingga 1 pagi.

Seorang pengunjung, Lim Wei Jian, 28, berkata beliau bersama keluarga hadir ke situ untuk menyaksikan pertunjukan bunga api sempena Tahun Baharu Cina.

Seorang lagi pengunjung, Ahmad Firdaus Rahman, 32, berkata beliau bersama isteri dan anak-anaknya turut gembira dapat merasai kemeriahan sambutan perayaan itu dan berpandangan kehadiran masyarakat pelbagai kaum membuktikan semangat perpaduan terus utuh di Perlis.

Di KEDAH, Ong Pei Tan, 56, dari Taman Mergong berkata selepas selesai melakukan upacara sembahyang, beliau pergi ke taman rekreasi untuk melakukan aktiviti zumba bersama rakan-rakannya terlebih dahulu sebelum beraya bersama keluarga, pada tengah hari. 

"Kami juga bawa buah limau untuk diberikan kepada orang ramai di sini..kongsi rezeki dan kongsi raya, sebab di Malaysia, contoh Tahun Baharu Cina, kaum Melayu dan India pun sambut juga sama macam Aidilfitri dan Deepavali," katanya.

Di PERAK, tinjauan Bernama mendapati penganut Buddha mula membanjiri Tokong Lin Seng Tong di Jalan Sultan Nazrin Shah di sini sejak pukul 9 pagi untuk melaksanakan upacara keagamaan serta memohon hajat masing-masing.

Kebanyakan mereka yang datang bersama keluarga berpakaian cheong sam dan busana kasual berwarna merah yang sinonim dengan simbol tuah dan kemakmuran dalam masyarakat Cina.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya berharap Tahun Baharu Cina ini akan membawa sinar kebahagiaan, kemakmuran dan kesejahteraan buat semua yang meraikannya.

"Nikmat perpaduan inilah yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia sejak dulu lagi. Anugerah ini mesti kita jaga, pelihara dan pertahankan bersama agar keharmonian dapat terus subur dan diwarisi generasi akan datang," katanya.

Di JOHOR, sambutan Tahun Baharu Cina 2026 berlangsung meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai apabila pelancong yang tiba dari Ho Chi Minh, Vietnam diraikan dengan suasana perayaan yang penuh warna-warni menerusi program anjuran Tourism Malaysia.

Ketibaan mereka disambut persembahan tarian singa yang memeriahkan balai ketibaan, diikuti pemberian buah limau mandarin sebagai simbol tuah dan kesejahteraan, selain cenderamata rasmi Visit Malaysia 2026 sebagai tanda penghargaan kepada pelawat.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor K. Raven Kumar berkata kepelbagaian musim perayaan di Malaysia mencerminkan keutuhan perpaduan rakyat, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan unik di persada antarabangsa.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan