BAGAN SERAI, 17 Feb (Bernama) -- Cadangan pemasangan kamera papan pemuka pada setiap kereta polis akan dibawa kepada Ketua Polis Negara dalam masa terdekat bagi memudahkan tugasan penguatkuasaan di lapangan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata kemudahan itu bertujuan mempertingkat pemantauan serta membolehkan pihak polis merekod dan menilai setiap insiden yang berlaku dengan lebih terperinci.
“Cadangan ini sesuatu yang bagus dan memudahkan kita untuk mengesan punca kemalangan atau insiden lain yang berlaku membabitkan pengguna jalan raya.
“Kaedah ini juga membantu pihak polis untuk mendidik orang ramai mengenai pematuhan undang-undang yang mampu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Ops Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, di sini hari ini.
Pada 10 Feb lepas, media melaporkan JSPT Bukit Aman sedang mempertimbangkan cadangan supaya penggunaan kamera papan pemuka diwajibkan kepada semua pengguna jalan raya sebagai sebahagian usaha memperkukuh penguatkuasaan dan keselamatan lalu lintas.
Sementara itu, berkaitan Ops Selamat 25 berkenaan, Muhammed Hasbullah berkata sebanyak 3,609 anggota JSPT serta 6,132 anggota Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) ditugaskan sejak 15 hingga 20 Feb ini.
Beliau berkata pihaknya juga akan melakukan pemantauan khusus di 25 lokasi panas dan 46 titik hitam di semua lebuh raya utama, selain 407 lokasi panas serta 76 titik hitam melibatkan jalan Persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran di seluruh negara.
“Saya menasihatkan semua pengguna jalan raya merancang perjalanan dan sentiasa merujuk maklumat terkini dalam laman media sosial JSPT bagi mengelak kesesakan trafik di semua laluan utama sepanjang tempoh perayaan pada kali ini.
“Kita juga mahu maklumkan bahawa untuk operasi kali ini kita mendapat kerjasama dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan lain-lain untuk membantu mengatasi masalah lalu lintas dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA
