AM

BANJIR: DARI MAKAN BESAR KE CUCI RUMAH, KELUARGA KWEK TETAP GEMBIRA SAMBUT TBC

17/02/2026 08:05 PM

TAIPING, 17 Feb (Bernama) -- Walaupun rumah ditenggelami air berikutan hujan berterusan sejak semalam, Tan Ah Tin, 89, tetap tersenyum gembira menyambut kepulangan anak cucu sempena Tahun Baharu Cina, malah menganggap tahun ini sebagai tahun “ong” atau tahun yang membawa tuah.

Tan yang sudah menetap di kediamannya di Kampung Baru Cina, Matang dekat sini hampir enam puluh tahun juga tidak menyangka sambutan kali ini bertukar menjadi pengalaman yang tidak pernah dilaluinya.

“Ini kali pertama rumah saya dinaiki air ketika perayaan Tahun Baharu Cina, sebelum ini ada cuma tidak berlaku semasa sambutan perayaan besar.

“Saya tidak sedih kerana ahli keluarga semua pulang berkumpul dan merayakan suasana hari ini dengan gembira,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini hari ini.

Sementara itu, cucunya Alicia Kwek, 29, yang pulang dari Kuala Lumpur berkata pengalaman tahun ini tidak dapat dilupakan apabila tujuan asal untuk beraya bertukar menjadi operasi mencuci rumah.

“Sangat susah, sangat menyusahkan sebab semua barang jadi kotor. Kita balik mahu raya, sudah rancang mahu makan, mahu bergembira, sekarang sebab banjir kita kena cuci rumah. 

“Dia (air) masuk kita kena sapu keluar supaya dia tak kering sebab nanti apabila kering lagi susah untuk dibersihkan,” katanya sambil mengakui kepenatan menangani air yang masuk ke dalam rumah.

Sementara itu, seorang lagi cucu Tan, Seow Woei Ann, 33, berkata hujan bukan sahaja menjejaskan suasana perayaan malah menghalangnya daripada menunaikan amalan tradisi membakar colok dan bersembahyang seperti kebiasaan.

“Kami nak sembahyang dulu lepas pergi tokong, tetapi tokong pun sekarang dilanda hujan. Kami nak bakar colok, barang sembahyang semua memang susah jugalah (untuk diuruskan) dan agak sedih,” katanya.

Dalam pada itu, Ann yang bekerja sebagai akauntan di Melaka berkata keluarganya kini bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir berulang memandangkan hujan belum reda.

“Kami jangka mungkin memang ada lagi (banjir) sebab hujan berpanjangan. Sekarang nak pergi siapkan barang, takut malam nanti banjir lagi, nak beli barang untuk keluarkan air semua,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Cina Matang Goh Siak Pheow berkata setakat ini sebanyak 10 rumah dilaporkan terjejas bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara dibuka kerana keadaan masih terkawal.

“Seingat saya kira-kira lapan jam situasi banjir ini sebab air laut pasang, kawasan di Taiping hujan, jadi semua (air) melimpah masuk ke kampung. 

“Kalau tengok pagi tadi pun memang kurang sedikit kunjungan orang ramai sebab kawasan ini banjir. Selalunya mereka akan sembahyang lepas ambil gambar dengan anak-anak mereka kerana tokong ini dikira sebagai tempat pelancongan juga,” katanya.

Beliau berkata semua penduduk telah maklum berhubung kejadian banjir dan sekiranya semakin teruk, arahan akan dikeluarkan untuk mereka berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan