SEREMBAN, 18 Feb (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) menyeru orang ramai untuk terus menderma darah termasuk pada Ramadan, kata Pengarahnya Dr Zuraida Mohamed.
Beliau berkata ia bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi terutama bagi kegunaan kecemasan, pembedahan dan rawatan penyakit kronik selain pesakit yang memerlukan transfusi darah secara berkala.
“Pendermaan darah ketika Ramadan adalah selamat dan boleh dilakukan pada waktu sesuai, iaitu sebelum 9 pagi dengan syarat melewatkan sahur atau selepas berbuka puasa. Malah, ramai penderma darah hadir pada waktu malam kerana keadaan lebih selesa.
“Kita harap masyarakat terus menderma, jangan bimbang kerana prosedur dijalankan adalah selamat serta dipantau petugas kesihatan terlatih,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dr Zuraida berkata penderma turut dinasihatkan supaya mendapatkan rehat secukupnya dan mengambil makanan yang seimbang sebelum dan selepas menderma darah bagi memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik.
Beliau berkata setiap beg darah yang didermakan amat bermakna dan berpotensi menyelamatkan beberapa nyawa sekali gus mencerminkan semangat keprihatinan khususnya ketika Ramadan yang penuh keberkatan.
-- BERNAMA
