AM

MMA GESA PENGUATKUASAAN LEBIH TEGAS TERHADAP KLINIK HARAM DI KUALA LUMPUR

19/02/2026 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan serius berhubung penemuan terbaharu klinik haram yang beroperasi di ibu negara, apabila warga asing didakwa menyamar sebagai doktor dan mendispens ubat terkawal tanpa kelayakan atau pendaftaran yang sewajarnya.

Presiden MMA Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata keadaan itu sangat mengejutkan, khususnya apabila aktiviti berkenaan berlaku di Kuala Lumpur.

“Ia menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan pesakit dan pengawasan kawal selia. Amalan tidak bertanggungjawab ini membahayakan nyawa.

“Pesakit berisiko menerima salah diagnosis, rawatan yang tidak sesuai, komplikasi akibat prosedur tidak selamat serta terdedah kepada ubat tiruan atau ubat yang didispens secara tidak wajar. Amalan perubatan di Malaysia dikawal selia secara ketat bagi melindungi orang awam dan hanya doktor yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia serta memegang Perakuan Amalan Tahunan yang sah dibenarkan secara sah untuk beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Thirunavukarasu menggesa pihak berkuasa mempergiat usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi menghentikan operasi penjagaan kesihatan haram, dengan menyatakan kes berulang walaupun selepas serbuan sebelum ini menunjukkan terdapat jurang dalam penguatkuasaan berterusan.

Beliau berkata aktiviti penguatkuasaan perlu diperkukuh secara strategik, khususnya di kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi pekerja migran, memandangkan komuniti rentan sering menjadi sasaran.

“Ini bukan mengenai mana-mana kumpulan tertentu, sebaliknya tentang melindungi individu yang mungkin diambil kesempatan akibat kekangan seperti kos, bahasa atau kekurangan kesedaran mengenai sistem penjagaan kesihatan.

“Setiap individu di Malaysia tanpa mengira kewarganegaraan berhak mendapat rawatan perubatan yang selamat, beretika dan sah di sisi undang-undang. Kerjasama tegas antara agensi, pemeriksaan berkala serta hukuman yang tegas adalah perlu bagi membendung aktiviti berbahaya seperti ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan rawatan hanya daripada pengamal berdaftar serta kemudahan penjagaan kesihatan yang berlesen.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Imigresen menyerbu sembilan klinik haram yang beroperasi di Jalan Tun Tan Siew Sin di sini minggu lepas, dengan sebahagiannya kembali beroperasi selepas tindakan penguatkuasaan terdahulu.

Premis yang tersembunyi di sebalik kedai runcit itu didapati menjual ubat terkawal yang dipercayai diseludup masuk termasuk antidepresan, antibiotik dan ubat bagi penyakit kronik.

Menurut laporan itu, sebanyak 18 lelaki (17 warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar) ditahan atas kesalahan imigresen yang didakwa termasuk penyalahgunaan permit kerja dan tidak memiliki dokumen sah manakala Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan di bawah Akta Jualan Dadah.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan