KOTA KINABALU, 22 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah meningkat kepada 3,427 orang daripada 1,449 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 3,266 orang daripada 1,401 keluarga pada 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari tiga daerah iaitu, Pitas, Paitan dan Tawau ditempatkan di 27 PPS.
Pitas merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,171 orang, diikuti Paitan (1,011) dan Tawau (245).
Banjir di ketiga-tiga daerah itu telah menjejaskan 70 kampung, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa kawasan di pedalaman Sabah mengalami ribut petir pada sebelah malam.
-- BERNAMA
