AM

PRODUKTIVITI BURUH PER JAM BEKERJA MENINGKAT 4.9 PERATUS PADA S4 2025

23/02/2026 04:24 PM

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Produktiviti buruh per jam bekerja meningkat 4.9 peratus kepada RM46.3 sejam pada suku keempat 2025 (S4 2025), menurut Statistik Produktiviti Buruh, Suku Tahun Keempat 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ekonomi Malaysia berkembang 6.3 peratus pada S4 2025 berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

“Dalam tempoh yang sama, jumlah jam bekerja meningkat 1.4 peratus kepada 9.9 bilion jam (S3 2025: 1.3 peratus; 9.8 bilion jam),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir menambah jumlah pekerja meningkat kepada 17.1 juta orang pada suku keempat 2025, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 1.8 peratus (S3 2025: 17.0 juta orang; 1.5 peratus).

Sementara itu, produktiviti buruh per pekerja meningkat 4.4 peratus untuk merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM26,765 seorang (S3 2025: 3.9 peratus; RM26,122 seorang).

Beliau berkata prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja meningkat merentas semua sektor pada suku berkenaan, diterajui oleh pembinaan (10.3 peratus), diikuti pembuatan (6.4 peratus), pertanian (5.5 peratus), perlombongan dan pengkuarian (5.1 peratus) serta perkhidmatan (4.0 peratus).

Produktiviti buruh per jam bekerja dalam sektor perkhidmatan meningkat pada suku ini, disokong oleh pertumbuhan dalam semua subsektor kecuali utiliti serta kewangan dan insurans, dengan makanan dan minuman serta penginapan mendahului pada kadar 7.9 peratus, diikuti perkhidmatan lain (7.2 peratus) dan maklumat dan komunikasi pada 6.4 peratus.

“Dari segi produktiviti buruh yang diukur melalui nilai ditambah per guna tenaga, setiap sektor menunjukkan kadar pertumbuhan yang berbeza pada suku ini.

“Sektor pembinaan memacu prestasi keseluruhan dengan mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 10.1 peratus, diikuti pertanian (5.4 peratus), pembuatan (5.1 peratus), perkhidmatan (3.7 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian 1.3 peratus,” tambahnya.

Mohd Uzir ketika mengulas lanjut mengenai prestasi keseluruhan produktiviti buruh bagi tahun penuh 2025 berkata prestasi produktiviti buruh per jam bekerja bagi 2025 menunjukkan momentum positif pada kadar 3.7 peratus (2024: 2.1 peratus), dengan merekodkan nilai ditambah per jam bekerja sebanyak RM44.5 sejam (2024: RM42.9 sejam).

Sehubungan dengan itu, produktiviti buruh per guna tenaga meningkat 3.4 peratus (2024: 2.4 peratus) dengan nilai ditambah per guna tenaga sebanyak RM102,672 seorang (2024: RM99,265 seorang).

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan