IPOH, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melaksanakan sebanyak 11 lokasi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di seluruh negeri pada tahun ini.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata pelaksanaan itu sebagai sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Payung Rahmah MADANI bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup sepanjang bulan Ramadan.
Beliau berkata seramai 465 peniaga menawarkan pilihan Juadah Rahmah pada kadar RM5 dan ke bawah sebagai menu tambahan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat membeli sajian untuk berbuka puasa pada harga berpatutan.
"Sebelas lokasi BRR yang terlibat ialah Taman Cempaka dan Taman Perpaduan di Ipoh; Taman Chandan Putri di Kuala Kangsar; bersebelahan OCBC Bank serta Simpang Empat Hutan Melintang di Teluk Intan.
"BRR turut ada di Pekan Gerik; Kamunting di Taiping; hadapan Pejabat Majlis Daerah Tapah; Bazar Ramadan Slim River Tapah; belakang Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) serta Dewan Kerian Permai di Parit Buntar," katanya pada sidang media selepas Sesi Tinjauan Mesra Serta Pelancaran BRR Taman Cempaka dan Program Ihsan Food Bank (i-FB) dekat sini hari ini.
Kamalludin berkata peniaga yang menyediakan Juadah Rahmah berpeluang mendapatkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah, dan permohonan kini dilaksanakan secara digital bagi mempercepat proses kelulusan kepada peniaga berdaftar dengan KPDN.
“Permohonan boleh dibuat melalui pautan yang disediakan dan ia bertujuan menggalakkan lebih ramai peniaga menyertai inisiatif ini sekali gus memperluas akses rakyat kepada makanan mampu beli,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata selain memastikan akses kepada juadah pada harga berpatutan, kerajaan menitikberatkan aspek pengurangan pembaziran makanan menerusi pelaksanaan i-FB, iaitu transformasi semula inisiatif MySaveFood (MSF).
"Menerusi pelaksanaannya di 15 lokasi BRR di seluruh Perak tahun lepas, kita berjaya menyelamatkan sebanyak 6,324 kilogram makanan setakat tahun 2025 sekali gus memberi manfaat kepada lebih 500 penerima dalam kalangan golongan memerlukan.
"Berdasarkan anggaran semasa, jumlah makanan yang diselamatkan itu dianggarkan bernilai RM80,325.19 selain membantu mengurangkan penghasilan karbon sebanyak 6,605.48 kilogram sejajar dengan usaha menyokong agenda kelestarian alam sekitar," katanya sambil menambah pelaksanaan i-FB dilaksanakan oleh Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dengan kerjasama KPDN Perak dan Gerakan Pengguna Siswa Perak.
Kamalluddin juga berkata KPDN) Perak melaksanakan pemantauan berkala menerusi Ops Pantau 2026 yang bermula 19 Feb lepas hingga 20 Mac ini bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan tanda harga serta mengamalkan perniagaan beretika sepanjang Ramadan dan setakat semalam, sebanyak 860 premis di seluruh negeri telah diperiksa dalam operasi berkenaan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 27 kes telah dikenakan tindakan kompaun serta-merta dengan nilai keseluruhan RM6,000 melibatkan peniaga kedai runcit, pasar raya dan pelbagai perniagaan lain.
“… 23 kes melibatkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga manakala empat lagi kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu melibatkan alat timbang yang tidak ditentusahkan atau telah tamat tempoh pengesahan,” katanya.
Beliau berkata kesemua kes telah diambil tindakan penguatkuasaan dan pihaknya akan meneruskan pemeriksaan dari semasa ke semasa khususnya dalam bulan Ramadan serta menjelang Aidilfitri.
"Pemeriksaan akan dipergiat dan memfokuskan lokasi tumpuan orang ramai seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar raya, pasar kering serta kedai runcit… kita akan bergerak ke kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri bagi memastikan harga jualan kekal munasabah serta tidak membebankan pengguna,” katanya.
Kamalludin berkata pihaknya turut menerima satu aduan berkaitan kegagalan mempamerkan tanda harga di sebuah bazar Ramadan dan tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap peniaga terlibat.
-- BERNAMA
