EKONOMI

IOI CORP CATAT UNTUNG BERSIH RM528.5 JUTA PADA SUKU KEDUA

24/02/2026 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- IOI Corporation Bhd (IOI Corp) mencatatkan untung bersih RM528.50 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, meningkat ketara berbanding RM111.10 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar minyak sawit itu memaklumkan prestasi lebih baik itu didorong terutamanya oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembuatan berasaskan sumber serta peningkatan kecil sumbangan daripada segmen perladangan.

Syarikat itu turut merekodkan hasil lebih tinggi sebanyak RM3.01 bilion berbanding RM2.97 bilion sebelumnya.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Dis, 2025, IOI Corp mencatatkan untung bersih RM897.90 juta, meningkat daripada RM821.80 juta dalam tempoh sama tahun lalu, disumbangkan terutamanya oleh prestasi lebih kukuh segmen pembuatan berasaskan sumber dan perladangan.

Hasil bagi tempoh berkenaan turut meningkat kepada RM6.06 bilion berbanding RM5.64 bilion setahun sebelumnya.

IOI Corp mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 5.5 sen sesaham bagi suku tahun berkenaan, yang akan dibayar pada 24 Mac 2026.

Mengenai prospek, syarikat menjangkakan prestasi operasi dan kewangannya bagi baki tahun kewangan 2026 kekal berdaya tahan dan memuaskan meskipun berdepan cabaran pasaran semasa.

Bagi segmen perladangan, pengeluaran tandan buah segar dijangka menunjukkan aliran meningkat, didorong oleh peratusan pokok kelapa sawit yang lebih besar mencapai usia matang optimum, walaupun program penanaman semula dipercepatkan masih dilaksanakan di Sabah.

“Penambahbaikan berterusan dalam amalan pengurusan ladang, peningkatan penggunaan mekanisasi serta pelaksanaan inisiatif digital dijangka terus meningkatkan produktiviti.

“Syarikat kekal optimistik terhadap prospek segmen perladangan dan menjangkakan ia mencatatkan prestasi kewangan yang berdaya tahan pada tahun kewangan 2026,” menurut syarikat berkenaan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan