KOTA KINABALU, 24 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah mencatatkan penurunan kepada 1,695 orang setakat 8 malam ini, berbanding 2,432 orang pada 4 petang tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan penurunan itu berlaku selepas semua PPS di Tawau, yang menempatkan 245 mangsa, ditutup petang tadi, membolehkan kesemua mangsa pulang ke rumah masing-masing.
“Kini, hanya daerah Pitas masih mengalami banjir, namun keadaan semakin pulih. Seramai 1,695 mangsa daripada 861 keluarga ditempatkan di lima PPS,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama menyebut, sebanyak 46 kampung masih terjejas banjir di daerah tersebut.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa kawasan di pedalaman, pantai barat Sabah serta Kudat berpotensi mengalami ribut petir malam ini.
-- BERNAMA
