KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarahkan menyiasat beberapa insiden gangguan membabitkan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada awal Ramadan ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata agensi itu turut diminta mengambil tindakan terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sekiranya terbukti terdapat kelemahan operasi yang tidak munasabah.
“Saya memandang serius beberapa insiden gangguan membabitkan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada awal Ramadan ini. Rakyat berhak menuntut mutu perkhidmatan yang lebih efisien dan boleh diharap,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.
Loke berkata beliau juga mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Amir Hamdan, memberi penjelasan dalam mesyuarat pasca Kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera.
Gangguan teknikal LRT Kelana Jaya yang kerap berlaku pada waktu puncak terus menimbulkan rungutan pengguna. Insiden terbaharu, pagi tadi, menyebabkan kebanyakan stesen dipenuhi orang ramai, sekali gus mengakibatkan kesesakan luar biasa.
-- BERNAMA
