JOHOR BAHRU, 24 Feb (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas minyak sawit mentah, mercun dan bunga api dianggar bernilai RM627,400 dalam tiga serbuan menerusi Ops Taring Landai di sekitar bandar raya ini.
Komander PPM Wilayah Dua ACP Noor Azman Jamal berkata dalam serbuan pertama kira-kira 2 petang semalam di Pasir Gudang, pihaknya merampas 4.8 tan minyak sawit mentah dan menahan seorang lelaki berusia 37 tahun.
“Lelaki itu ditahan ketika memindahkan minyak sawit mentah itu dari sebuah lori ke lori lain. Pemeriksaan menemukan 24 tong dram besi berisi minyak sawit mentah dan 23 tong kosong dengan anggaran keseluruhan 4.8 tan minyak sawit mentah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM185,000 manakala lelaki terbabit yang gagal mengemukakan dokumen pemindahan sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia kini disiasat di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005.
Noor Azman berkata dua lagi serbuan adalah membabitkan tempat penyimpanan dan penjualan mercun serta bunga api tanpa permit di Skudai dan Danga Bay.
Beliau berkata dalam serbuan di Skudai kira-kira 10 malam semalam, seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan bersama 86 kotak mercun dan bunga api bernilai RM211,000.
“Serbuan ketiga pada 12.30 tengah malam tadi di sebuah kediaman sekitar Danga Bay, PPM menahan seorang lelaki berusia 39 tahun dan merampas 77 kotak mercun serta bunga api bernilai RM231,300,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
-- BERNAMA
