DUNIA

CHINA SERU PENYELESAIAN KRISIS UKRAINE SECARA DAMAI

25/02/2026 12:09 PM

BEIJING, 25 Feb (Bernama-CMG) -- Masyarakat antarabangsa perlu mewujudkan suasana yang kondusif bagi menyelesaikan krisis Ukraine menerusi saluran politik, manakala Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) diharap memainkan peranan konstruktif dalam menyatukan konsensus keamanan dalam kalangan negara anggota.

Perkara itu dinyatakan oleh Konsul Misi Tetap China ke PBB, Teng Fei ketika menyampaikan ucapan susulan pengundian draf resolusi "Menyokong Keamanan Berkekalan di Ukraine" pada Sidang Khas Tergempar Perhimpunan Agung pada Isnin.

Beliau berkata China menggalakkan dan menyokong segala usaha ke arah mewujudkan keamanan, selain menyeru pihak terlibat supaya mengekalkan momentum positif dan membina konsensus bagi mencapai perjanjian damai yang komprehensif, berkekalan dan mengikat.

Menurut beliau, struktur keselamatan Eropah yang lebih seimbang, berkesan, dan mampan perlu diwujudkan bagi mencapai keamanan berkekalan di benua itu.

Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi "Menyokong Keamanan Berkekalan di Ukraine" dengan 107 undi menyokong, 12 menentang dan 51 berkecuali pada Isnin.

-- BERNAMA-CMG

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan