EKONOMI

MPB SASAR KAWASAN PENANAMAN BAHARU LADA CECAH 300 HEKTAR PADA TAHUN INI -- KPK

25/02/2026 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Lembaga Lembaga Lada Malaysia (MPB) menyasarkan kawasan penanaman baharu lada diperluas sehingga mencecah 300 hektar pada tahun ini yang melibatkan kira-kira 1,200 orang pekebun, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Beliau berkata pada masa ini jumlah keluasan kawasan baharu adalah kira-kira 55 hektar yang melibatkan sebanyak 80 syarikat.

“MPB juga pada masa ini membantu kira-kira 1,400  pekebun bagi tujuan mengurus dan menyelenggara tanaman lada matang seluas 350 hektar," katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Larry Soon@Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mengenai usaha MPB dalam meningkatkan bilangan penanam lada baharu serta meningkatkan hasil pengeluaran lada negara.

Menjelaskan selanjutnya, Huang berkata MPB memperkasakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dengan menumpukan sistem fertigasi dan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam usaha melonjakkan pengeluaran lada secara mampan.

Selain itu, MPB mempergiatkan penganjuran aktiviti pengembangan seperti kursus, latihan dan pemindahan teknologi bagi pemantapan serta peningkatan tahap kemahiran dan kompetensi pekebun selain menggalakkan pentauliahan pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia untuk kalangan pekebun.

Menjawab soalan tambahan mengenai usaha Malaysia bersaing dengan Vietnam dalam pengeksportan lada ke pasaran antarabangsa, Huang berkata skala pengeluaran lada Malaysia adalah terhad berbanding Vietnam.

Sebahagian besar tanaman lada di Malaysia pula diusahakan oleh pekebun kecil dengan keluasan sekitar 8,234 hektar berbanding Vietnam iaitu melebihi 100,000 hektar.

Pada masa sama, katanya, kos pengeluaran lada di Malaysia juga lebih tinggi, khususnya melibatkan kos input pertanian dan kos tenaga kerja.

“Harga lada hitam di Malaysia pada masa ini adalah sekitar US$9,000 hingga US$9,700 satu tan metrik -- lebih tinggi berbanding harga lada hitam Vietnam sekitar US$6,500 hingga US$6,700 satu tan metrik yang secara langsung mengekang daya saing Malaysia dalam pasaran antarabangsa yang sentiasa sensitif terhadap sebarang perubahan harga," katanya.

Huang bagaimanapun menekankan kelebihan lada Malaysia yang berkualiti tinggi, khususnya lada Sarawak yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dari aspek aroma, kandungan piperine yang konsisten serta pematuhan piawaian keselamatan makanan yang ketat.

Selaras dengan hasrat mengembangkan eksport lada, beliau berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui MPB telah meluluskan projek naik taraf pusat pemprosesan Lada di Pejabat Wilayah Semenanjung Malaysia Johor dalam usaha menghasilkan produk lada berkualiti tinggi serta bertaraf eksport.

"Pembangunan kemudahan ini dijangka dapat menggalakkan penggunaan lada tempatan di pasaran domestik dan antarabangsa serta dijadualkan bermula tahun dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2029," katanya.

Kerajaan juga sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM16 juta bagi Program Kemampanan Penanaman Lada bagi 2026 di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang bertujuan menumpukan pelaksanaan skim penanaman baharu dan pengeluaran lada premium serta membantu pekebun mengusahakan kawasan penanaman lada secara lebih mampan dan berdaya saing.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan