AM

KEBERANIAN PENGUAT KUASA PERTARUH NYAWA WAJAR DIHARGAI - FAHMI

26/02/2026 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Keberanian pasukan penguat kuasa termasuk Agensi Perlindungan dan Kawalan Sempadan (AKPS) wajar dihargai kerana mereka berdepan ancaman terhadap diri serta keluarga ketika menjalankan tugas.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata anggota penguat kuasa sanggup mengambil risiko  terhadap diri sendiri dalam membanteras jenayah demi keselamatan negara.

Pada masa sama, beliau mengajak rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu kepada semua agensi penguat kuasa yang menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka.

“Saya ucapkan terima kasih yang tak terhingga buat Komander AKPS Bukit Kayu Hitam kerana tegas dalam tindakan beliau,” katanya kepada media ketika melakukan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Pantai Dalam di sini hari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu mengulas mengenai insiden Komander AKPS Bukit Kayu Hitam Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir yang ditembak semalam.

Dalam insiden itu, Mohd Nasaruddin terselamat daripada terkena peluru selepas kenderaan Proton X70 beliau ditembak oleh dua suspek tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal.

Di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata suspek yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan Mohd Nasaruddin berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam, dan proses soal siasat sedang dilakukan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan