POLITIK

KEBAKARAN LIMA MAUT: PKR PAHANG ZAHIR UCAPAN TAKZIAH, SALUR BANTUAN BUAT WARIS MANGSA

26/02/2026 09:41 PM

KUANTAN, 26 Feb (Bernama) -- PKR Pahang hari ini menzahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas pemergian lima sekeluarga dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Raub pagi tadi.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam satu kenyataan berkata sebagai tanda solidariti dan keprihatinan, pihaknya menerusi PKR Cabang Raub akan segera menyalurkan bantuan awal bagi meringankan beban yang ditanggung oleh waris mangsa. 

"Fokus utama kami adalah untuk memastikan kebajikan dan kelangsungan pendidikan kedua-dua anak mangsa yang masih belajar terus terbela dalam waktu yang sukar ini," katanya.

Setiausaha Politik Perdana Menteri itu juga berkata tragedi ini merupakan satu kehilangan yang cukup besar bukan sahaja buat warga Raub, malah buat seluruh rakyat Pahang. 

"Saya mendoakan agar dua anak mangsa yang terselamat yang kini masing-masing sedang menuntut di Kolej Matrikulasi Gambang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dong diberikan ketabahan, kesabaran, dan kekuatan iman yang setinggi-tingginya. 

"Kehilangan mengejut seluruh ahli keluarga tercinta merupakan satu trauma yang amat berat untuk dipikul. Marilah kita sama-sama memanjatkan doa agar urusan mereka dipermudahkan," katanya. 

Kebakaran pada awal pagi tadi mengorbankan Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak perempuan mereka Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, serta Ruby Azyan Barizah, 10 tahun.

Dua lagi anak pasangan itu selamat kerana tiada di rumah, iaitu Ruby Adalia Balqis, 19, yang merupakan pelajar matrikulasi di Gambang, Kuantan manakala Ahmad Balia Murqam, 15, pelajar Sekolah SMK Dong. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah dan turut melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan