IPOH, 26 Feb (Bernama) -- Perak Community Specialist Hospital (PCSH) meneruskan tradisi tahunan menyantuni masyarakat sempena bulan Ramadan dengan mengedarkan 2,000 bubur lambuk percuma hari ini menerusi program “Semarak Ramadan”.
PCSH dalam kenyataan memaklumkan program itu julung kali diadakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh di sini, berhadapan Stadium Indera Mulia.
Bubur lambuk berkenaan diagihkan secara percuma kepada orang ramai, petugas barisan hadapan serta agensi sekitar kawasan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berkhidmat kepada masyarakat di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dan perkongsian rezeki sepanjang Ramadan.
Kenyataan itu memaklumkan keistimewaan program tahun berkenaan ialah penyediaan bubur lambuk kambing sebagai hidangan utama selain bubur lambuk ayam bagi memberi lebih pilihan kepada penerima.
PCSH memaklumkan bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong oleh kakitangannya bersama anggota bomba mencerminkan semangat kerjasama, perpaduan dan kesukarelawanan antara kedua-dua organisasi, dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif PCSH Nicholas Chan serta Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon yang turut membantu dalam penyediaan hidangan itu.
Chan berkata sebagai sebuah hospital komuniti, PCSH sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa hospital bukan sekadar tempat menerima rawatan tetapi juga institusi yang dekat di hati masyarakat serta komited untuk terus menyumbang kepada komuniti.
“Program seperti agihan bubur lambuk ini mencerminkan komitmen berterusan PCSH untuk menyumbang kembali kepada komuniti. Kami sentiasa bersama masyarakat bukan sahaja ketika mereka sakit tetapi juga dalam saat-saat kebersamaan dan kegembiraan seperti bulan Ramadan,” katanya.
-- BERNAMA
