AM

SSM TAWAR PERMOHONAN GERAN PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN HINGGA RM100,000

27/02/2026 10:31 AM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menawarkan Geran Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan pembiayaan hingga RM100,000 bagi setiap projek dalam usaha memperkasakan penyelidikan berimpak tinggi dalam sektor perniagaan dan korporat negara.

Pelaksanaan geran itu selaras dengan Seksyen 17(f) Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001 [Akta 614] yang menyasarkan penghasilan dapatan penyelidikan bagi menyokong penambahbaikan dasar dan rangka kerja pengawalseliaan, meningkatkan tahap pematuhan, memperkukuh tadbir urus korporat serta mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan agensi itu.

Skop penyelidikan yang dibiayai melalui inisiatif berkenaan merangkumi tadbir urus korporat, pematuhan undang-undang, perakaunan dan audit, transformasi digital, keusahawanan serta kajian dasar berkaitan fungsi, peranan dan tanggungjawab SSM.

Penyelidik boleh mengemukakan kertas konsep berdasarkan fokus am dan fokus keutamaan.

Fokus am merangkumi tadbir urus korporat syarikat, perniagaan dan Perkongsian Liabiliti Terhad, amalan perakaunan, audit dan pelaporan kewangan serta kajian dasar bagi memperkukuh perundangan dalam bidang kuasa SSM.

Fokus keutamaan pula melibatkan pembangunan penyelesaian rintis berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan penguatkuasaan dan pematuhan, sokongan kepada intermediari korporat, juruaudit serta pengarah syarikat, selain kajian hubungan antara pematuhan undang-undang dan tadbir urus korporat dengan prestasi syarikat.

Tempoh pelaksanaan projek adalah antara satu hingga 12 bulan bergantung pada skop dan kebolehlaksanaan kajian, dengan projek dijangka bermula kira-kira suku tahun ketiga 2026 selepas kelulusan dan pemakluman rasmi oleh SSM.

Geran itu terbuka kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan serta sektor swasta.

SSM amat menggalakkan permohonan secara kolaboratif antara institusi akademik, sektor awam dan swasta bagi memastikan hasil penyelidikan lebih komprehensif, praktikal dan berimpak tinggi.

Penilaian permohonan akan dibuat berdasarkan tahap penjajaran dengan visi dan teras strategik SSM, kualiti metodologi yang dicadangkan, impak penyelidikan, keupayaan pasukan pelaksana serta justifikasi bajet.

Pelaksanaan penyelidikan di bawah geran ini hendaklah dijalankan secara beretika, berintegriti serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh SSM.

Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diakses melalui portal rasmi SSM melalui www.ssm.com.my, manakala permohonan lengkap perlu dihantar menerusi e-mel kepada Urus Setia Geran Penyelidikan dan Pembangunan SSM, iaitu rndfund@ssm.com.my.

-- BERNAMA

Penafian: Ini ialah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan