AM

RUU HAD TEMPOH JAWATAN PM 10 TAHUN TIDAK JEJAS KUASA AGONG – BERSIH

27/02/2026 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin lepas, tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Faisal Abdul Aziz berkata ini kerana jawatan Perdana Menteri merupakan jawatan berperlembagaan seperti diperuntukkan dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dari sudut menjalankan amanah dan fungsi termasuk aspek pelantikan. 

Beliau berkata Perkara 43(2)(a) itu menetapkan tatacara jelas untuk Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri dan kewujudan tatacara itu menjelaskan bahawa telah wujud syarat tertentu untuk Baginda melantik penyandang jawatan berkenaan.

Faisal berkata Perkara 159(1) pula memperuntukkan bahawa Perlembagaan sememangnya boleh dipinda, sekali gus membuktikan Perlembagaan Persekutuan merupakan dokumen hidup yang berkembang berasaskan peredaran zaman.

Katanya meskipun Perkara 159(1) boleh dipinda, di bawah Perkara 159(5) pula menjelaskan secara spesifik peruntukan-peruntukan khas yang tidak boleh dipinda iaitu perkara melibatkan kepentingan agama Islam, hak istimewa, bahasa Kebangsaan, kewarganegaraan dan sebagainya.

“Maka pindaan kepada Perkara 43 ini tidak boleh ditafsirkan sebagai menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja kerana ia tidak termaktub dalam Perkara 159(5),” katanya dalam hantaran di laman aplikasi X hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan pembangkang yang meminta RUU tersebut ditangguhkan kerana didakwa ia boleh menjejaskan kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Faisal berkata tujuan pindaan Perkara 43 perlembagaan itu adalah untuk menghalang pemusatan kuasa Perdana Menteri bagi tempoh lama dan bukannya untuk menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong sepertimana didakwa pembangkang. 

“Maka pindaan ini adalah lonjakan reformasi institusi yang tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut merujuk Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong sempena Pembukaan Parlimen pada 19 Jan lepas yang menitahkan dengan jelas sokongan Seri Paduka Baginda terhadap cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

“Titah ini menjelaskan tiada isu percanggahan pindaan ini dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

RUU yang dibentangkan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada Isnin lepas dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua minggu depan.

Menurut naskhah biru, RUU itu bertujuan meminda Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan fasal baharu (2a) yang memperuntukkan bahawa seorang Perdana Menteri yang dilantik di bawah perenggan (2)(a) Perkara 43 tidak boleh pada bila-bila masa memegang jawatan itu selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah lebih daripada 10 tahun sama ada terus-menerus atau selainnya.

RUU itu turut memasukkan fasal baharu (4a) hingga (4d) di bawah Perkara 43, dengan (4a) memperuntukkan bahawa Perdana Menteri hendaklah terhenti memegang jawatan apabila tamat tempoh yang pada agregatnya berjumlah 10 tahun.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan