KUANTAN, 27 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyalurkan bantuan bagi meringankan beban dua remaja kehilangan lima ahli keluarga yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Raub, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau komited memastikan kebajikan serta pendidikan Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, dan adiknya Ahmad Balia Murqam, 15, terus terbela.
“Sewaktu saya membuat panggilan video bersama waris tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, hati saya amat tersentuh melihat ketabahan dua anak yang terselamat, Ruby Adalia Balqis dan Ahmad Balia Murqam dalam menghadapi kehilangan insan tersayang,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut mengajak kedua-dua remaja itu untuk bersama-sama menyambut Aidilfitri agar mereka tidak berasa keseorangan dalam menghadapi ujian berkenaan.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan keluarga yang ditinggalkan dikurniakan kekuatan serta ketabahan,” katanya.
Jenazah lima sekeluarga itu, Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak perempuan mereka Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gelugor, Raub pada 11.45 malam, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3 pagi itu, pelajar matrikulasi di Gambang, Kuantan Ruby Adalia Balqis dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong, Raub Ahmad Balia Murqam selamat kerana tiada di rumah.
-- BERNAMA
